- Berita
- Berita Auto
- Guna Logo SIRIM Palsu Pada Tayar, Pengarah Syarikat Mohon Duit Jaminan Diringankan Kerana Usia
Guna Logo SIRIM Palsu Pada Tayar, Pengarah Syarikat Mohon Duit Jaminan Diringankan Kerana Usia
Sebuah syarikat bersama pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Port Dickson atas tuduhan menggunakan pelekat logo Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu pada 80 unit tayar celup. Kesalahan itu didakwa berlaku pada Februari lalu.
Syarikat Cerico Retread Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Khoo Chai Kee, 65 tahun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam. Khoo didakwa atas pertuduhan meletakkan pelekat logo SIRIM MS 224:2005 palsu pada tayar pelbagai jenama dan saiz tanpa kelulusan SIRIM.
Kesalahan tersebut dilakukan di premis syarikat di Taman Perindustrian Bukit Palong Lukut, Pekan Lukut, Port Dickson pada jam 4 petang, 13 Februari lalu. Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 21 (b) Akta Perihal Dagangan 2011.
Seksyen 21 (b) memperuntukkan denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, syarikat turut didakwa mengikut Seksyen 21 (a) akta yang sama, dengan denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan berikutnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammad Hakiim Izani. Pihak tertuduh diwakili peguam Raswanti Nagaindren dan Suwaathee Nakkeeran.
Muhammad Hakiim memohon jaminan sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai. Namun, peguam tertuduh memohon pengurangan jaminan atas faktor usia Khoo.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 28 Ogos.
Sumber: Bernama
Baca: Tayar EcoContact 6, EcoContact 6Q, Direka Untuk Kereta Petrol, Hibrid, Elektrik
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv