- Berita
- Berita Auto
- JPJ: 8,322 Kenderaan Jenama KIA, Yamaha, Mercedes-Benz Dipanggil Balik
JPJ: 8,322 Kenderaan Jenama KIA, Yamaha, Mercedes-Benz Dipanggil Balik
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil balik sebanyak 8,322 kenderaan membabitkan tiga jenama kerana berisiko mengalami kecacatan komponen dan kegagalan fungsi sistem penting.
Antara kenderaan yang terlibat meliputi model Kia RIO UB, Yamaha Tenere 700, Tracer 9 GT dan MT09, (3,167 unit). Turut dipanggil balik ialah beberapa model Mercedes-Benz iaitu S-Class, GLC, AMG SL, EQS dan EQE .
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan kemalangan berlaku disebabkan masalah tersebut.
Menurutnya, pengeluar jenama KIA memanggil semula model KIA Rio UB tahun keluaran 2010 hingga 2017, membabitkan 5,123 unit berikutan risiko litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran pada papan litar Hydraulic Electronic Control Unit (HECU).
"Selain itu, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd turut melaksanakan pemanggilan semula bagi tiga model motosikal keluarannya, iaitu MT09 dan Tracer 9 GT keluaran November 2021 hingga Februari 2025 serta Tenere 700 keluaran 2023 hingga 2024.
"Masalah yang dikenal pasti membabitkan Throttle Position Sensor (TPS) serta sistem klac yang boleh menjejaskan penukaran gear, membabitkan sejumlah 3,167 unit motosikal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malah, Mercedes-Benz Malaysia memanggil semula 32 unit pelbagai model keluaran 2023 hingga 2025 iaitu S 580 e, S GLC 300 4MATIC, EQS 500, AMG SL 43,AMG EQE 53, dan AMG EQS 53.
Difahamkan, isu teknikal dikenal pasti membabitkan kotak fius yang mungkin tidak dipasang semula dengan sempurna, sekali gus menjejaskan keselamatan sistem kenderaan.
"Semua pemilik akan dihubungi oleh pihak pengeluar untuk penyelarasan pemeriksaan dan penggantian komponen yang akan ditanggung sepenuhnya oleh pengeluar kenderaan masing-masing.
"Untuk maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh hubungi atau kunjungi mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan masing-masing yang berdekatan," katanya.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/