- Berita
- Global
- Toyota Sienta Juno Didedah Tetapi Bukan Di Malaysia

Walaupun UMW Toyota Motor (UMWT) telah menghentikan jualan Toyota Sienta di Malaysia sejak 2019, namun ia terus kekal popular di Jepun.
Namun Sienta kali ini didatangkan dengan varian Juno sekali gus menjadi tumpuan di Jepun. Ini kerana versi generasi ketiga (XP210) Sienta ini hadir dengan kem-khemah (camper-ready) dimana ia menjadi trend di Jepun, ketika ini.

Idea pintar pada Sienta ini dibangunkan oleh Modellista iaitu anak syarikat Toyota yang menghasilkan aksesori kustom yang menggantikan kerusi baris ketiga dengan ruang khas dimana ia boleh diubah suai.
Ia dibina berdasarkan platform asas TNGA-B yang dikongsi bersama hatchback Yaris namun telah dipanjangkan untuk Sienta sehingga 4,260 mm.
Dari segi mekanikal, terdapat pilihan enjin petrol 3-silinder 1.5 liter dan versi hibrid petrol, dengan pilihan pacuan semua roda E-Four bagi varian hibrid.
Selain itu, bergantung kepada pilihan, pengguna boleh membina ruang santai, tempat tidur, atau pejabat mudah alih kompak di bahagian belakang Sienta – seperti yang ditunjukkan dalam video rasmi.

Turut dikekalkan daripada Sienta standard ialah kemasan fabrik anti-bau, kalis air dan minyak, yang ditawarkan dalam pilihan warna hitam, khaki atau ‘fromage’.
Toyota juga mengemas kini varian asas Sienta dengan ciri baharu seperti brek parkir elektronik (EPB) dengan fungsi tahan brek, kawalan iklim automatik, kawalan jelajah adaptif, bantuan stereng, sistem tindak balas kecemasan pemandu, serta kamera pemuka (dashcam).
Bagaimanapun, tiada perubahan visual ketara kecuali lencana “Juno” pada pintu but. Ciri pintu gelangsar berkembar yang menjadi identiti mini-MPV ini turut dikekalkan selain menawarkan kemudahan akses kabin.
Di Jepun, Toyota Sienta Juno dijual pada harga bermula ¥3,654,200 (RM105,042) untuk varian 1.5 2WD, dan ¥3,852,200 (RM110,734) bagi varian hibrid 1.5 E-Four.

Selain itu, Toyota dan Modellista turut menawarkan modul seperti Bass Module pada harga ¥69,300 (RM1,992) atau versi lebih besar pada ¥72,600 (RM2,087), Cushion Module pada ¥20,900 (RM201), Side Table pada ¥31,900 (RM916), dan Work Table pada ¥44,000 (RM1,265).

Bagi melengkapkan set perkhemahan, pembeli ditawarkan dengan tilam udara (Air Mattress) yang berharga ¥22,000 (RM632).
Pembeli juga boleh memilih pakej penuh jika sanggup membayar harga tambahan – pakej Chill berharga ¥165,000 (RM4,743), pakej Focus pada ¥231,000 (RM6,640), dan pakej Comfort pada ¥330,000 (RM9,486).
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

