- Berita
- Global
- Toyota Yaris Ativ HEV Didedahkan Di Thailand – Vios Versi Hibrid, 2 Varian
Toyota Yaris Ativ HEV Didedahkan Di Thailand – Vios Versi Hibrid, 2 Varian
Yaris Ativ HEV
Toyota Motor Thailand baru-baru ini secara rasmi memperkenalkan model terbarunya, Toyota Yaris Ativ HEV 2025, membawa teknologi hibrid ke dalam badan sedan kompak yang dikenali sebagai Vios di Malaysia. Model ini memasuki pasaran tersebut dengan kelewatan hampir setahun berkemungkinan ekoran skandal yang menyelubungi Daihatsu tahun lepas.
Ciri Mekanikal Toyota Yaris Ativ HEV 2025
Yaris Ativ HEV ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu HEV Premium dan versi sport HEV GR Sport. Kedua-dua varian berkongsi sistem kuasa sama yang terdiri daripada enjin petrol 1.5 liter 4 silinder Dual-VVT-i dengan output 91 ps dan tork 121 Nm. Dipadankan dengan motor elektrik dan bateri litium-ion kompak yang mampu mengeluarkan 80 ps serta tork 141 Nm, sistem hibrid ini menawarkan jumlah kuasa gabungan sebanyak 111 ps.
Kuasa disalurkan kepada roda depan (FWD) menggunakan transmisi e-CVT, membolehkan pemanduan lancar dan responsif. Pemandu boleh memilih antara tiga mod pemanduan iaitu Power, Normal dan Eco mengikut keperluan dan situasi jalan raya.
Sentuhan Baharu
Dua varian ditawarkan iaitu Premium (kiri) dan GR Sport (kanan)
Rim baharu berukuran 16 inci didatangkand dengan lima lug nut
Untuk menampung berat tambahan sistem hibrid, suspensi kenderaan telah diberikan pengubahsuaian. Rim aloi 16 inci baharu hadir dengan lima lug nut menggantikan empat lug sebelum ini, menambah elemen kestabilan dan ketahanan.
Model baharu ini tampil dengan skrin sentuh terapung 10.1 inci yang lebih responsif dan menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar. Turut disediakan ialah pengecas tanpa wayar.
Varian GR Sport Lebih ‘Garang’ & Canggih
HEV GR Sport tampil lebih menyerlah dengan pelbagai ciri menarik yang termasuk aerokit dan rim 17 inci
Model GR Sport tampil lebih sporty dengan rekaan bampar hadapan dan belakang yang agresif, menjadikan panjang badan bertambah kepada 4,440 mm iaitu 15 mm lebih panjang daripada varian biasa. Versi sportu ini juga dipasangkan dengan kit aero, rim dwi-tona 17 inci khas, serta tempat duduk dan stereng berlogo GR. Sistem audio Pioneer yang premium pula melengkapkan pengalaman hiburan dalam kereta.
Sistem suspensi GR Sport juga lebih keras.
Kabin GR Sport tampil lebih sporty dengan pelbagai elemen GR, selain sistem audio premium daripada Pioneer.
Selain itu, GR Sport turut menerima talaan suspensi lebih keras, termasuk spring dan penyerap hentak yang diperbaik, bersama sistem stereng yang diberikan penyesuaian semula bagi memberikan pemanduan lebih responsif dan sporty.
Keselamatan Kekal Komprehensif Seperti Model Standard
Dari segi keselamatan, tidak banyak yang berubah berbanding Yaris Ativ versi standard, model ini masih didatangkan dengan enam beg udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, kawalan kestabilan kenderaan (VSC), sistem kawalan cengkaman (TRC) dan bantuan mula mendaki (HAC). Teknologi ADAS turut merangkumi kawalan jelajah adaptif (ACC) semua kelajuan, amaran titik buta dengan bantuan stereng, amaran lintasan trafik belakang dan beberapa ciri keselamatan lain.
Sistem bantuan pemanduan dipertingkatkan dengan penambahan fungsi Lane Keeping Control (LKC) dalam pakej ADAS untuk kedua-dua varian.
Harga Kompetitif, Pesaing Honda City e:HEV
Di Thailand, Yaris Ativ HEV varian Premium dijual pada harga THB729,000 (~RM94,346), manakala GR Sport pula berharga THB779,000 (~RM100,817). Harga ini tidak jauh berbeza daripada harga model pesaingnya, Honda City e:HEV RS.
Buat masa ini, tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Toyota Malaysia mengenai ketibaan Vios HEV, tetapi kami tidak menolak kemungkinan model ini akan menerjah masuk pasaran kita tidak lama lagi untuk memeriahkan lagi pilihan model yang cekap tenaga di Malaysia.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv