- Berita
 - Berita Auto
 - Datuk Abdul Rashid Musa Kembali Ke Proton Sebagai Timbalan CEO
 

Proton mengumumkan kemunculan semula satu nama besar dalam organisasi mereka, Datuk Abdul Rashid Musa, yang kini secara rasmi kembali menyertai Proton dan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif baharu. Pelantikan ini berkuat kuasa pada 1 November lalu.
Datuk Abdul Rashid Musa mengambil alih jawatan Timbalan CEO yang sebelum ini disandang oleh Roslan Abdullah, yang telah meninggalkan syarikat pada penghujung Mei tahun ini. Sejak itu, peranan tersebut dipangku sementara oleh Naib Presiden Strategi Korporat merangkap Pengarah Kanan Perolehan Teknikal Kumpulan, Ainol Azmil.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Proton, Datuk Abdul Rashid Musa.
Kemunculan semula Datuk Abdul Rashid Musa disambut baik memandangkan beliau bukanlah wajah baharu dalam keluarga Proton kerana sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Teknikal (CTO) Proton.
Beliau juga pernah memimpin Proton Edar sebagai CEO dan menyelia pelancaran model-model penting, termasuk pelancaran SUV Proton X70 pada tahun 2018, yang menjadi kejayaan kritikal Proton.
Sebelum kembali ke Proton, Datuk Abdul Rashid Musa bertanggungjawab menguruskan portfolio penting dalam konglomerat gergasi UMW Holdings Berhad. Di sana, beliau sempat menerajui bahagian aeroangkasa dan mengetuai inisiatif utama dalam mobiliti, inovasi dan pembangunan mampan organisasi tersebut.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Proton meluahkan rasa berbesar hati untuk menerima kehadiran beliau, "Proton berbesar hati untuk menyambut kembali Datuk Abdul Rashid Musa. Kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam industri automotif Malaysia serta kefahamannya terhadap operasi syarikat akan memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi dan memperkukuhkan pertumbuhan syarikat."
Seperti mana Timbalan CEO sebelum ini, Datuk Abdul Rashid Musa akan melapor secara langsung kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Li Chunrong.

Gambar memaparkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Ainol Azmil (paling kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Li Chunrong (kedua dari kiri) semasa pelancaran Proton e.MAS 5 baru-baru ini.
Proton juga merakamkan penghargaan kepada Ainol Azmil atas khidmat beliau sebagai pengganti sementara. Ainol Azmil kekal dalam pengurusan tertinggi syarikat dengan meneruskan peranan sedia ada beliau sebagai Naib Presiden Strategi Korporat merangkap Pengarah Kanan Perolehan Teknikal Kumpulan.


Kepimpinan Datuk Abdul Rashid Musa tiba tepat pada masanya, di saat Proton baru sahaja melancarkan kenderaan elektrik (EV) termurah Malaysia, iaitu Proton e.MAS 5, pada minggu lalu dan ketika syarikat sedang bersiap sedia untuk melancarkan model yang dinanti-nantikan ramai, Proton Saga 2026 serba baharu.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv


