- Berita
- Berita Auto
- Isuzu Malaysia Buka Pusat 4S Di Balakong – Serba Lengkap & Moden
Isuzu Malaysia Buka Pusat 4S Di Balakong – Serba Lengkap & Moden

Isuzu Malaysia merasmikan pembukaan Pusat 4S serba baharu di Balakong. Cawangan terbaru ini merupakan pusat jualan, servis, alat ganti serta baik pulih badan dan cat yang dikendalikan oleh SV Prestige Auto. Pembukaan lokasi ini yang terletak berhampiran Lebuhraya Penyuraian Trafik Kajang (SILK), menjadikannya cawangan 4S yang ketiga di Lembah Klang.
Pusat Sehenti Dengan Identiti Korporat Terkini

Pusat 4S Balakong ini menampilkan Identiti Korporat (CI) Isuzu yang terkini, menawarkan suasana dan kemudahan moden. Ruang pameran utama direka untuk mempamerkan pelbagai jenis kenderaan Isuzu, termasuk trak pikap D-Max dan trak komersial, di mana ia mampu menempatkan sehingga dua unit trak pikap dalam satu-satu masa.
Sementara itu, ruang servisnya pula mampu menampung sehingga enam kenderaan serentak, yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk kerja-kerja penyelenggaraan rutin sehingga kepada pelarasan penjajaran roda dan baik pulih badan kenderaan.
Pusat Badan & Cat Diiktiraf Insurans
Aspek yang paling penting di pusat ini adalah integrasi dengan servis baik pulih badan dan cat (B&P) yang serba lengkap dengan bilik semburan cat yang berukuran penuh (full-sized paint booth).
B&P ini telah mendapat pengiktirafan daripada syarikat insurans automotif utama dan berada dalam panel lima syarikat insurans terbesar di Malaysia. Kini, ia hanya menantikan kelulusan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan kemalangan berat, memandangkan semua peralatan dan latihan yang diperlukan telah pun disediakan.
Komited Menjanjikan Pengalaman Pemilikan Positif

CEO Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, "Pembukaan Pusat 4S Isuzu baharu yang menampilkan kemudahan moden dan bersepadu ini mencerminkan usaha berterusan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan Isuzu kekal sebagai pengalaman yang benar-benar positif. Dengan rangkaian perkhidmatan penjagaan kenderaan yang lengkap di bawah satu bumbung, pelanggan kami boleh menikmati jaminan penjagaan kualiti yang mudah dan komprehensif untuk kenderaan Isuzu masing-masing."
Sementara itu, Pengarah Urusan SV Prestige Auto, Ryan Tham menambah, "Melalui bimbingan Isuzu Malaysia dan sokongan pelanggan kami, kami telah dapat menyatukan semua operasi kami di sini menjadi Pusat 4S sehenti. Saya berharap dengan kemudahan baharu yang disediakan ini, pelanggan dapat menikmatik suasana yang lebih selesa dan kondusif untuk semua keperluan Isuzu."

Pusat 4S Isuzu SV Prestige Auto ini terletak di Lot 1917-B, Jalan KPB 7, Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong. Sebagai makluman, ruang pameran SV Prestige Auto dibuka setiap hari (termasuk Pusat 3S Isuzu di Puchong), manakala pusat servis dibuka dari hari Isnin hingga Sabtu.
Baca: Pengeluaran Isuzu D-Max EV Dimulakan – Dua Motor, 66.9 kWj, Cecah 361 KM
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv