- Berita
- Berita Auto
- PDRM Tawar Diskaun Saman 70%, Pesalah Trafik Rasa Insaf Bila Bayar Saman Bawa Laju!
PDRM Tawar Diskaun Saman 70%, Pesalah Trafik Rasa Insaf Bila Bayar Saman Bawa Laju!

Tawaran diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 70% bermula dari 1 November lalu sehingga 30 Disember ini, membuatkan orang tidak melepaskan peluang untuk melunaskan kesemua saman tertunggak.
Penulis juga terpanggil untuk memeriksa saman tertunggak menerusi aplikasi MyBayar PDRM, rupa-rupanya saya sendiri mempunyai 1 saman atas kesalahan memandu laju. Selepas diskaun, saya cuma perlu membayar RM50 berbanding kompaun asal sebanyak RM150.

Bagi saya, inilah masa untuk ‘membersihkan rekod’ sebelum pelaksanaan sistem baharu pembayaran saman bermula tahun depan.
Selain dapat mengurangkan beban rakyat Malaysia yang berdepan situasi ekonomi tidak menentu, langkah tersebut sebenarnya menggalakkan orang ramai membayar saman. Walaupun belum menerima gaji bulanan namun penulis tetap nekad untuk membayar saman tertunggak walaupun ada masa untuk berbuat demikian.

Sebaik membuat bayaran, wujud perasaan insaf seketika. Mujur, tindakan saya memandu laju tidak meragut nyawa saya mahupun orang lain. Bukan apa, sekiranya terbabas, sudah semestinya, tindakan saya sendiri membahayakan orang yang tidak bersalah.
Jika sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan amalan pemberian tawaran diskaun saman trafik serta merta namun bagi pembayar seperti saya, ia sebenarnya cukup menginsafkan.
Kadang kala kami sebagai pesalah trafik bukannya enggan membayar saman tetapi disebabkan jumlah kompaun yang tinggi menyebabkan perkara itu terpaksa diabaikan.
Perlu diingatkan, matlamat saman trafik bukanlah sekadar menghukum, sebaliknya mendidik dan menakutkan pengguna jalan raya supaya tidak melanggar undang-undang.
Namun amaran keras yang dikeluarkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sememangnya wajar dipuji memandangkan pemberian diskaun hanya ditawarkan pada tahun ini memandangkan bermula tahun depan, kerajaan sudah memutuskan pendekatan baharu itu akan menggantikan amalan pemberian diskaun saman.

Ini kerana prinsip baharu “The Less You Delay, The Less You Pay” akan diperkenalkan, di mana kadar kompaun lebih rendah akan dikenakan kepada mereka yang menjelaskan saman dengan segera.
“Struktur pengurangan kompaun yang ditetapkan iaitu dari satu hingga 15 hari pengurangan 50 peratus diberikan, manakala dari 16 hingga 30 hari, pengurangan diberikan sebanyak 33 peratus.
“Bagi mereka yang melengahkan 31 hingga 60 hari, kadar maksimum kompaun akan dikenakan dan bagi yang lewat 61 hari ke atas tindakan mahkamah akan diambil atau disenarai hitamkan,” katanya.
Bagi saya, selagi kerajaan menawarkan pemberian diskaun saman, bayarlah segera kerana ia adalah satu kerugian besar buat pesalah trafik sekiranya peluang yang diberikan oleh kerajaan tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.
Terdahulu Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menawarkan potongan 70 peratus saman trafik oleh PDRM bagi memberi kelegaan kepada orang ramai.
Langkah itu sebagai langkah terakhir sebelum pelaksanaan kaedah baharu pembayaran saman bermula 2026.
Bagaimanapun Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata diskaun tersebut tidak terpakai bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun (NC).
Ujarnya, selain itu, tawaran pengurangan terbabit adalah tertakluk kepada nilai kompaun semasa, dengan kadar minimum iaitu RM30 sahaja.
Urusan penyelesaian boleh dilakukan melalui platform MyBayar PDRM bagi pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID, serta di semua kaunter trafik daerah dan pejabat pos Malaysia di seluruh negara.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/