- Berita
- EV
- Model PHEV BYD, Song Pro, Qin L & Qin Plus Capai Jarak Elektrik Menakjubkan, Cecah 210 KM!
Model PHEV BYD, Song Pro, Qin L & Qin Plus Capai Jarak Elektrik Menakjubkan, Cecah 210 KM!

BYD Song Pro DM-i Long Range 2026 dijangka akan dipamerkan di China bermula 10 Januari akan datang.
Gergasi automotif China, BYD, nampaknya semakin rancak berinovasi. Terbaru, BYD memperkenalkan versi Long Range untuk tiga model popularnya, Song Pro DM-i (SUV) serta dua model sedan, Qin L dan Qin Plus.
Ketiga-tiga model ini menerima kemas kini sistem trenkuasa hibrid plug-in (PHEV) DM-i yang lebih cekap, dengan kapasiti bateri yang lebih besar untuk pemanduan elektrik yang jauh lebih lama sebelum enjin petrol perlu 'masuk campur'.
Apa Yang Menarik Mengenai BYD Song Pro DM-i Long Range?
Versi Long Range model ini dijangka dapat mencapai jarak elektrik sehingga 200 km.
Varian baharu ini merupakan tambahan kepada Song Pro DM-i generasi kedua. Fokus utama versi baharu ini adalah memberikan lebih kebebasan kepada pemandu untuk menggunakan mod elektrik sepenuhnya (EV Mode).
Walaupun spesifikasi rasmi belum didedahkan sepenuhnya, sumber industri di China melaporkan bateri baharu ini mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 200 km (CLTC) dalam mod elektrik.
Sebagai rujukan, varian sedia ada sebelum ini hanya menawarkan jarak elektrik sekitar 133 km dengan jumlah jarak gabungan (petrol + elektrik) mencecah 1,508 km.
Sejauh Mana Pula Kehebatan Sedan Qin L (Seal 06) versi Long Range?
Sistem DM-i PHEV sedan Qin L dipertingkatkan dengan bateri berkapasiti 26.6 kWj, untuk jarak perjalanan lebih jauh.
Sedan ini menerima lonjakan prestasi yang sangat ketara melalui varian Long Range:
- Bateri Lebih Padu: Kini dilengkapi pek bateri 26.6 kWj.
- Jarak EV Luar Biasa: Mampu mencecah 210 km (CLTC), peningkatan drastik berbanding hanya 129 km pada versi terdahulu.
- Sistem Suspensi Pintar: Varian ini bakal dilengkapi teknologi peredam pintar DiSus-C yang memberikan keselesaan pemanduan tahap premium.



Tiada perubahan dari segi kosmetik, tetapi aspek teknologinya dipertingkat.
BYD tidak hanya menaik taraf bateri, malah turut memuatkannya dengan pakej teknologi terkini:
- Infotainmen DiLink 6.0: Antara muka lebih pantas dan responsif untuk hiburan dalam kabin.
- ADAS "God’s Eye C": Pakej bantuan pemandu yang canggih (ADAS)i yang menyokong navigasi lebuh raya pintar, bantuan parkir autonomi dan juga sistem memori navigasi bandar.
Juga Menarik: BYD Hampir Lepasi Eksport 1 Juta Kereta Tahun Ini
Bagaimana Pula Dengan Qin Plus DM-i versi Long Range?
Qin Plus DM-i Long Range kekal menggunakan sistem trenkuasa sama, tetapi diberikan bateri dengan kapasiti lebih tinggi.
‘Sentuhan’ Long Range yang diberikan pada model Qin Plus DM-i adalah termasuk:
- Enjin & Motor: Masih mengekalkan enjin 1.5L petrol yang dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 100 PS dan tork 126 Nm.
- Jarak Elektrik Lebih Jauh: Jika versi lama hanya menawarkan jarak elektrik antara 43 km hingga 90 km, varian Long Range terbaru ini melonjakkan angka tersebut sehingga 210 km (CLTC).
- Bateri Kongsi: Ia menggunakan teknologi bateri besar yang sama dengan Qin L, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap petrol untuk pemanduan harian di bandar.
Bilakah Model-Model Ini Akan Berada Di Pasaran?
Peminat di China tidak perlu menunggu lama untuk melihat model ini rasmi di pasaran:
- Qin L & Qin Plus Long Range: Dijangka tiba di pusat jualan bermula 8 Januari 2026.
- Song Pro DM-i Long Range: Bakal menyusul kemudian iaitu bermula 10 Januari 2026.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv







