- Berita
- EV
- Berapakah Jumlah Tempahan Perodua QV-E? Ini Jawapan Bos Besar Perodua!

Sebelum ini, ramai yang tertanya-tanya berapakah jumlah tempahan kenderaan elektrik pertama pengeluar kereta nasional Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), QV-E setakat ini?
Ini kerana wujudnya sentimen "rugi" beli Perodua QV-E disebabkan harga, skim pajakan bateri, kesediaan infrastruktur pengecasan, dan banyak faktor lain.


Namun, semua persoalan ini muncul mungkin juga disebabkan harga RM80,000 tetapi tanpa bateri. Apapun, untuk makluman anda, pihak Perodua telah menerima 205 tempahan sejak pelancaran pada 1 Disember lalu.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata setakat ini kira-kira 40 unit telah didaftarkan, kebanyakannya untuk kereta pameran bilik pameran dan pandu uji.
"Dari segi dalaman, kami sedang berdepan beberapa masalah pengeluaran berkaitan QV-E. Kami sudah biasa dengan piawaian kualiti yang sangat tinggi, hasil pembelajaran dari Jepun.

"Dengan QV-E, kami mendapati sebahagian pembekal baharu, termasuk dari China, tidak memenuhi piawaian kualiti kami," katanya dalam satu temu bual bersama portal permotoran Careta yang disiarkan dalam YouTube.
Beliau menambah, pada masa ini terdapat 30 kakitangan PERODUA di China yang memantau pembekal bagi memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard.
Mengenai sasaran jualan 500 unit sebulan bagi model EV berkenaan, Zainal Abidin berkata: "Untuk berlaku adil, pada waktu pelancaran (Disember), kami memang tidak menjangka dapat mencapai pengeluaran 500 unit sebulan. Kami merancang untuk memulakan pengeluaran penuh pada Januari.
"Sasaran itu boleh dicapai berdasarkan pelan awal kami, namun kami memutuskan untuk mengehadkan kereta pandu uji kepada lapan cawangan kerana ini merupakan EV pertama kami dan juga kenderaan pertama dengan banyak komponen kritikal dari China.
"Oleh itu, keyakinan kami untuk meningkatkan jualan buat masa ini adalah agak rendah, walaupun terdapat permintaan pasaran," ujarnya.
Perodua melancarkan secara rasminya kenderaan elektrik (EV) pertama mereka yang digelar sebagai QV-E, pada harga RM80,000 ke pasaran tempatan, pada 1 Disember lalu
QV-E, yang bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua iaitu Smart Mobility Plant.
Model EV pertama 100 peratus buatan Malaysia ini hadir dengan hanya satu varian.
Untuk maklumat lanjut, KLIK!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/