- Berita
- EV
- MITI Makin Tegas, Pasaran Malaysia Bukan 'Tong Sampah' Untuk EV Murah Tanpa Nilai Tambah
MITI Makin Tegas, Pasaran Malaysia Bukan 'Tong Sampah' Untuk EV Murah Tanpa Nilai Tambah

Kerajaan Malaysia kini memberi isyarat jelas untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap kemasukan kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU). Langkah ini bertujuan memastikan hanya model EV yang “berkualiti” dibenarkan memasuki pasaran bagi melindungi ekosistem automotif tempatan daripada terjejas.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menegaskan bahawa setiap EV yang diimport perlu memberi nilai tambah kepada industri. Beliau turut menyatakan bahawa pemain industri tempatan sebenarnya sudah mempunyai keupayaan untuk memenuhi segmen EV mampu milik.
Mengapa Kerajaan Fokus Terhadap Kualiti Berbanding Harga Murah?
Bercakap selepas pelancaran model Proton e.MAS 7 PHEV, Johari menjelaskan bahawa fokus utama kerajaan bukan sekadar pada harga yang rendah, tetapi pada pembangunan industri jangka panjang:
- Elak Lambakan: Kemasukan EV import yang tidak terkawal dibimbangi akan menyebabkan masalah lambakan stok, sekali gus membantul pertumbuhan pasaran EV domestik.
- Pengeluaran Komponen Tempatan: Kerajaan mahu melihat lebih banyak pengeluar beralih kepada pemasangan tempatan (CKD) dan meningkatkan penggunaan komponen buatan Malaysia.
Malaysia kini mengeluarkan kira-kira 800,000 kenderaan setahun, namun beliau berpendapat ekosistem yang kompetitif di peringkat global hanya akan tercapai jika pengeluaran melebihi angka satu juta unit.
Meskipun tumpuan kini terarah kepada EV sepenuhnya, kementerian tetap bersikap terbuka terhadap teknologi hibrid. Johari menyatakan pihaknya sedia mendengar sebarang cadangan dan mengadakan perbincangan lanjut bersama pemain industri mengenai masa depan kenderaan hibrid di Malaysia.
Juga Menarik: Jangan Risau, Proton e.MAS 7 PHEV Boleh Gerak Lebih 1,100 KM
Adakah Harga Lantai RM250,000 Untuk EV Import Akan Dikekalkan?
Ini merupakan kemunculan awam pertama Johari dalam acara automotif sebagai Menteri MITI yang baharu. Walau bagaimanapun, beberapa isu dasar yang meresahkan industri masih belum terjawab sepenuhnya, terutamanya mengenai harga lantai RM250,000 bagi model EV CBU baharu.
Jika syarat harga minimum RM250,000 (atas jalan) dikuatkuasakan, ia secara drastik akan menyekat kemasukan lambakan EV mampu milik dan kelas pertengahan yang dijadualkan pelancarannya tahun ini.
Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada peraturan ini merupakan cubaan tidak langsung untuk melindungi pengeluar yang melakukan pemasangan CKD.
Juga Menarik: MITI Ubah Dasar 'Dalam Diam', Harga Lantai RM250K Kini Untuk “Model” EV Baharu
Di Manakah Hala Tuju Jangka Panjang EV Malaysia Selepas 2027?

Persoalan paling besar yang menghantui pemain industri adalah kejelasan pelan hala tuju EV negara, khususnya untuk model CKD selepas tahun 2027. Ketidakpastian ini menyebabkan banyak jenama masih "berat hati" untuk memberikan komitmen penuh bagi melabur dalam fasiliti pemasangan tempatan.
Selain itu, timbul persoalan bagaimana kerajaan mahu menyelaraskan polisi import yang semakin ketat dengan sasaran besar negara iaitu untuk mencapai penembusan xEV sebanyak 20% menjelang 2030, sebelum meningkat kepada 80% pada 2040 dan akhirnya mencapai sasaran 80% pada tahun 2050.
Apa pendapat anda? Adakah anda bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk menyekat kemasukan EV murah semata-mata untuk memberi laluan kepada jenama tempatan, walaupun ia bermakna pilihan pengguna kini jadi lebih terhad?
Juga Menarik: PHEV Paling Mampu Milik, Proton e.MAS 7 PHEV Dilancarkan, Ada 3 Varian, Harga Semurah RM105, 800
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

-full_normal.jpg)
