- Berita
- Tips
- Analisis: Cukup Ke Kuota BUDI95 150 Liter Sebulan?
Isu subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI95 kini menjadi topik hangat dimedia sosial sejak petang tadi selepas akhbar tempatan melaporkan kuota penggunaan bahan api RON95 bulanan di bawah program BUDI95 berpotensi dikurangkan kepada 150 liter.
Susulan itu, ada yang mula bertanya-tanya, "Cukup ke 150 liter sebulan untuk aku?"
Sebelum perkara ini terjadi, penulis ada buat eksperimen. Sebagai pemilik Perodua Viva (Manual), saya nak tengok sejauh mana RM50 boleh pergi. Keputusannya agak mengejutkan dan mungkin boleh jadi rujukan untuk anda.
Pengalaman Peribadi: Viva Manual & RM50
Untuk rekod, sekali isi saya isi minya RM50 (kira-kira 25 liter pada harga RM1.99). Berikut adalah rutin harian saya:
Hantar anak ke sekolah: 4km (pergi-balik).
Ke pejabat: 2 kali seminggu (46km pergi-balik)/ Hadiri majlis pelancaran kereta 2 kali seminggu (Dari Subang Jaya-KL).
Ketahanan: Minyak bertahan selama 11 hari.
Jarak perjalanan: 340km untuk satu tangki RM50 tersebut.
Kalau dikira secara kasar, dalam sebulan (30 hari), saya perlu mengisi minyak sebanyak 3 kali.
Jumlah Liter: 25L x 3 kali = 75 Liter sebulan.
Jadi, Adakah 150 Liter Itu Mencukupi?
Berdasarkan kira-kira di atas, jawapannya adalah: Lebih daripada cukup!
Bagi pemilik kereta kompak atau city car yang mempunyai rutin perjalanan yang pendek dan tetap, kuota 150 liter sebenarnya adalah satu angka yang agak mewah. Malah, saya masih mempunyai baki 75 liter lagi yang boleh digunakan untuk perjalanan hujung minggu atau kecemasan.
Namun, situasi mungkin berbeza bagi mereka yang:
Menggunakan kereta berkapasiti enjin (CC) besar.
Menghadap kesesakan trafik jam berjam-jam setiap hari.
Bekerja sebagai pemandu e-hailing atau penghantar barangan.
Cara 'Audit' Penggunaan Minyak Anda Sendiri
Jangan sekadar mengagak. Anda boleh lakukan langkah mudah ini untuk tahu kedudukan sebenar bajet minyak anda:
Reset Meter ke 0: Setiap kali selepas isi minyak penuh (atau amaun tetap seperti RM50), tetapkan trip meter anda ke sifar.
Catat Tarikh: Tulis tarikh isi dan tarikh lampu amaran minyak menyala semula.
Kumpul Resit: Simpan resit sepanjang bulan untuk melihat jumlah liter (bukan sekadar RM) yang telah dibayar.
Kira Purata: Jika sebulan anda menggunakan 100 liter, bermakna kuota 150 liter BUDI95 itu memang "ngam" dan selamat untuk poket anda.
Kesimpulan
Bagi rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan jimat minyak untuk urusan harian yang asas, 150 liter adalah jumlah yang munasabah. Namun, bagi yang tinggal di bandar besar dengan jarak perjalanan melebihi 60km sehari, pengurusan perjalanan dan pemilihan kenderaan akan memainkan peranan penting.
Bagaimana pula dengan anda? Cuba set meter 0 hari ini dan lihat hasilnya hujung bulan nanti!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/




