- Berita
- Berita Auto
- Feytech Menang Kontrak Proton RM96.8 Juta; Bakal Bekal Sarung Tempat Duduk Model Baharu Proton
Feytech Menang Kontrak Proton RM96.8 Juta; Bakal Bekal Sarung Tempat Duduk Model Baharu Proton

Feytech Holdings Berhad (KLSE:5322) telah memperoleh kontrak pembekalan sarung tempat duduk bernilai kira-kira RM96.8 juta bagi model baharu Proton dimana pengeluaran dijadualkan bermula dalam masa terdekat.
Difahamkan, sarung tempat duduk tersebut akan dihasilkan oleh bahagian pembuatan kemasan kulit Kumpulan, Gosford Leather Industries Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata, kontrak itu merupakan lanjutan semula jadi daripada hubungan jangka panjang dengan Proton yang bermula sejak 2012.
"Feytech telah berkembang seiring dengan industri automotif nasional dan kami berbangga dapat menyokong pengeluar kereta nasional ini dalam memasuki fasa baharu pengembangan produknya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam perkembangan berasingan, usaha sama Feytech dengan syarikat China, Wuhu Ruitai Auto Parts Co. Ltd, iaitu FTRT Autoparts Sdn Bhd, sedang memperkukuh hubungan dengan Chery.
FTRT Autoparts akan memulakan pengeluaran tempat duduk bagi dua model kereta Chery sedia ada dan dua model baharu pada suku ketiga tahun ini di bawah rangka kerja penyetempatan sedia ada di fasiliti khasnya di Subang.
FTRT ditubuhkan untuk menyokong keperluan penyetempatan pengeluar OEM berpangkalan di China yang beroperasi di bawah rangka kerja pemasangan sepenuhnya (completely-knocked-down) di Malaysia.
Go berkata kedua-dua program ini selaras dengan strategi Kumpulan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal tempat duduk Tier-1 kepada OEM domestik dan serantau, selain meningkatkan penggunaan kapasiti dan kestabilan pendapatan jangka panjang.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
