- Berita
- Kereta Baru
- Pencabar Baharu SUV 7-Tempat Duduk, Chery Tiggo 9 Rasmi Dilancar Di Malaysia, Harga Bermula RM166,800
Pencabar Baharu SUV 7-Tempat Duduk, Chery Tiggo 9 Rasmi Dilancar Di Malaysia, Harga Bermula RM166,800

Pasaran SUV segmen-D tempatan kembali hangat apabila Chery Malaysia secara rasminya melancarkan model kemegahan terbaharu mereka, Chery Tiggo 9, dalam satu majlis pelancaran gilang-gemilang di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur semalam.
Hadir sebagai model terbesar dalam keluarga Tiggo, SUV 7-tempat duduk ini tampil mempertaruhkan reka bentuk premium, teknologi kabin kelas atasan, serta rangkaian kuasa yang mantap untuk pasaran Malaysia. Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

Pakej 'Early Bird' Memang Padu!
Chery Tiggo 9 ditawarkan dalam dua varian utama pada harga yang sangat kompetitif:


- Tiggo 9 Flexi: RM166,800
- Tiggo 9 Prime: RM179,800
Bagi menghargai pembeli terawal, Chery Malaysia menawarkan pakej 'Early Bird' luar biasa yang merangkumi:

- Waranti kenderaan 7 tahun atau 150,000 km.
- Waranti enjin luar biasa sehingga 10 tahun atau 1,000,000 km.
- Servis percuma selama 5 tahun.
Khusus untuk pembeli varian tertinggi (Prime), anda bakal menikmati keistimewaan tambahan berupa rebat tunai RM5,000, subsidi petrol RM3,000, serta insurans percuma untuk tahun pertama!
Reka Bentuk Luaran: Sasa, Berani & Elegan
Melihat kepada reka bentuk luaran, Tiggo 9 tidak sekadar sebuah SUV besar, malah ia memancarkan imej mewah yang dominan. Bahagian hadapan menampilkan gril 3D berbentuk berlian yang memukau, diapit oleh lampu hadapan LED langsing dengan pencahayaan aliran dinamik (dynamic flow lighting).


Profil sisi kelihatan lebih kemas dan sasa terima kasih kepada penggunaan rim aloi mewah bersaiz 20 inci serta integrasi pemegang pintu jenis tersembunyi (flush door handles). Melengkapi sentuhan premium ini adalah lampu aluan (puddle lights) dan reka bentuk lampu belakang bersepadu dengan corak berinspirasikan berlian.
Ruang Kabin 'First Class' & Fleksibel
Menjengah ke dalam kabin, keselesaan penumpang merentasi ketiga-tiga barisan tempat duduk menjadi keutamaan. Dengan konfigurasi tempat duduk yang fleksibel, ruang bagasi boleh dilaraskan daripada 143 liter sehingga mencecah 2,065 liter—menjadikannya sangat praktikal untuk pemanduan harian mahupun kembara balik kampung.
Ciri Keselesaan & Teknologi Premium:
Infotainmen Gergasi: Skrin infotainmen 15.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155, menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Sistem Audio: Sistem bunyi premium Sony dengan 14 pembesar suara.
Kelebihan Lain: Bumbung suria panoramik, lampu ambien 64-warna, Paparan Dongak (HD HUD), serta tempat sandar tangan dengan sistem penyejuk.
Prestasi Enjin 2.0TGDI & 7 Mod Pemanduan
Di bawah hud enjin, Chery Tiggo 9 dijanakan oleh enjin 2.0TGDI berkuasa tinggi yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 256 PS dan tork maksimum 390 Nm. Kuasa ini disalurkan ke roda menerusi transmisi klac berkembar (DCT) 7-kelajuan.
Walaupun menawarkan prestasi yang bertenaga, SUV gergasi ini mengekalkan kadar penggunaan bahan api sekitar 8.3 liter bagi setiap 100 kilometer. Pemanduan juga kini lebih meyakinkan dengan Sistem Pacuan Semua Roda Pintar (AWD) yang menawarkan 7 mod pemanduan: Eco, Normal, Sport, Snow, Mud, Sand, dan Off-Road.
Penarafan Keselamatan Tertinggi: ADAS 2.5 & 10 Beg Udara
Aspek keselamatan tidak diabaikan apabila struktur badan Tiggo 9 dibina menggunakan 85% keluli kekuatan tinggi (termasuk 21% keluli acuan mampat panas).
Ia turut dilengkapi dengan perlindungan 10 beg udara secara menyeluruh serta sistem ADAS 2.5 dengan 23 ciri bantuan pemandu lanjutan. Antara ciri yang paling menarik perhatian ialah Bantuan Parkir Automatik (Automatic Park Assist), memudahkan pemandu mengendalikan SUV besar ini untuk masuk ke ruang parkir yang sempit dengan tepat dan mudah.
Dengan tanda harga dan pakej yang ditawarkan, adakah Chery Tiggo 9 bakal menjadi pencabar terdekat bagi pasaran SUV 7-tempat duduk di Malaysia? Apa pula pandangan anda?
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
