- Berita
- Tips
- Jadikan Kes Ini Pengajaran: Kenapa Aplikasi MyJPJ Tak Boleh Guna Di Luar Negara?
Jadikan Kes Ini Pengajaran: Kenapa Aplikasi MyJPJ Tak Boleh Guna Di Luar Negara?

Di Malaysia, aplikasi MyJPJ memang penyelamat. Hati rasa tenang sebab semua bendadaripada lesen memandu ke cukai jalan, semuanya ada dalam telefon pintar.
Sebaliknya, jika anda bercadang ke Thailand dan mahu memandu di sana, pastikan anda membawa lesen memandu Malaysia dalam bentuk fizikal atau Permit Memandu Antarabangsa (IDP).
Ini kerana masih ramai yang gagal berbuat demikian, Terbaharu, seorang wanita warga Malaysia berdepan detik cemas dan terpaksa membayar denda sebanyak 1,000 Baht (kira-kira RM123) di Hat Yai.
Punca utamanya? Dia hanya menunjukkan lesen memandu digital menerusi aplikasi MyJPJ ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Thailand.
Walaupun wanita tersebut menjelaskan bahawa lesen digital tersebut sah dan diterima secara meluas di Malaysia, pihak berkuasa Thailand tetap bertegas dengan undang-undang negara mereka.
Kenapa Aplikasi MyJPJ "Tak Laku" di Thailand?
Di Thailand, pihak berkuasa hanya mengiktiraf dua dokumen sahaja bagi pemandu warga asing:
- Lesen Memandu Fizikal Malaysia (Kad plastik original)
- Permit Memandu Antarabangsa (IDP)
Nota Penting: Di bawah Perjanjian ASEAN 1985, lesen memandu domestik fizikal yang dikeluarkan oleh negara anggota ASEAN (termasuk Malaysia) adalah sah digunakan di negara ASEAN yang lain tanpa memerlukan IDP. Namun, syarat utamanya ialah dokumen tersebut mestilah dalam bentuk fizikal.
Oleh kerana wanita berkenaan tidak dapat mengemukakan kad fizikal mahupun IDP, dia dianggap memandu tanpa lesen sah.
Checklist Sebelum "Drive" ke Thailand
Ramai rakyat Malaysia yang terlebih teruja nak bercuti ke destinasi popular seperti Hat Yai, Bangkok, atau Krabi. Kita selalunya cukup bersedia dengan:
- Pasport yang masih sah.
- Insurans dan dokumen kenderaan (geran/surat kebenaran).
- Wang tunai Baht yang cukup.
- Kad SIM Thailand.
Namun, lesen memandu fizikal sering kali terlepas pandang kerana kita sudah terlalu terbiasa dengan sistem digital di tanah air.
Cara Dapatkan Lesen Fizikal Malaysia (Untuk Kegunaan Luar Negara)

Jika lesen memandu anda sudah diperbaharui secara digital dan anda tiada lagi kad fizikal di dalam dompet, jangan panik. Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sudah pun menyediakan penyelesaian untuk perkara ini:
- Pergi ke kaunter JPJ: Anda boleh memohon cetakan lesen fizikal.
- Bayaran minima: Caj yang dikenakan hanya RM20 untuk warganegara Malaysia.
Simpan dengan selamat: Pastikan kad fizikal ini sentiasa ada bersama pasport anda sepanjang berada di luar negara.
Pengajaran Buat Semua.
Undang-undang jalan raya di negara orang adalah hak mutlak mereka. Sebagai pelancong, kita tidak boleh memaksa pihak berkuasa luar menerima undang-undang atau sistem digital yang diguna pakai di Malaysia.
Sebelum memulakan perjalanan merentasi sempadan selepas ini, pastikan anda semak semula dompet anda. Pastikan kad lesen memandu fizikal ada bersama. Jangan biarkan percutian yang sepatutnya membahagiakan bertukar menjadi pengalaman pahit (dan menipiskan dompet) hanya kerana sekeping kad plastik tertinggal di rumah!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/



