- Berita
- Berita Auto
- Kereta Dihempap Pokok Atau Tenggelam Banjir? Ini Cara Menuntut Ganti Rugi Daripada PBT
Kereta Dihempap Pokok Atau Tenggelam Banjir? Ini Cara Menuntut Ganti Rugi Daripada PBT

Bayangkan kereta kesayangan anda tenggelam secara tiba-tiba dalam banjir kilat, atau dihempap pokok tumbang sewaktu diparkir di tempat yang sah. Sebelum anda terduduk menangis meratapi nasib, tahukah anda bahawa anda sebenarnya boleh menuntut ganti rugi daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)?
Namun, jangan gembira dulu kerana tuntutan ini bukanlah secara 'automatik'.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menegaskan bahawa ganti rugi hanya boleh dituntut sekiranya kerosakan tersebut sah berpunca daripada kecuaian PBT itu sendiri, bukannya sekadar faktor alam semula jadi semata-mata.
Bila PBT Boleh Dipersalahkan?
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, tuntutan terhadap PBT bagaimanapun tidak boleh dibuat secara automatik hanya kerana sesuatu kawasan dilanda banjir.
Katanya, banjir boleh berlaku akibat pelbagai faktor termasuk hujan luar biasa dan kesan perubahan iklim yang tidak semestinya berpunca daripada kecuaian mana-mana pihak.
“Namun, jika ada bukti bahawa kerosakan berlaku akibat kecuaian PBT seperti kegagalan menyelenggara sistem perparitan, longkang yang tersumbat atau pokok yang tidak diselenggara sehingga tumbang dan menghempap kenderaan, pengguna boleh mempertimbangkan untuk membuat tuntutan ganti rugi.
“Bagi kes pokok tumbang, tuntutan boleh dibuat sekiranya kenderaan diparkir di tempat yang dibenarkan dan terdapat bukti bahawa PBT gagal melaksanakan penyelenggaraan yang sewajarnya,” katanya kepada Kosmo!.
4 'Senjata' Utama Sebelum Buat Tuntutan
Bagi anda yang mahu mempertahankan hak sebagai pengguna, pastikan anda tidak panik dan terus mengumpul dokumen penting berikut:
1. Gambar Kejadian: Latar tempat, keadaan longkang/pokok, dan kerosakan kenderaan.
2. Laporan Rasmi: Laporan polis dan laporan bomba (jika berkaitan).
3. Resit Pembaikan: Bukti resit rasmi bengkel selepas kenderaan dibaiki.
4. Bukti Kelayakan: Memastikan kenderaan diparkir di kawasan yang dibenarkan (bagi kes pokok tumbang).
Langkah Selamat: Ambil Insurans 'Special Perils'
Menyedari hakikat bahawa fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim di Malaysia semakin sukar diramal, Fomca turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkira untuk menambah perlindungan Special Perils dalam polisi insurans kenderaan masing-masing.
Langkah ini penting bagi memastikan kenderaan anda dilindungi secara menyeluruh daripada risiko banjir kilat, tanah runtuh, mahupun ribut taufan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses perundangan yang panjang.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

