- Berita
- Berita Auto
- Mengimbau Litar Batu Tiga: Salinan Silverstone yang Kini Menjadi Kenangan
Mengimbau Litar Batu Tiga: Salinan Silverstone yang Kini Menjadi Kenangan

Percaya atau tidak, Litar lumba Batu Tiga, litar lumba pertama di Malaysia yang dibuka pada tahun 1967, sebenarnya mempunyai kaitan dengan Litar Silverstone di England kerana susun aturnya.

Berdasarkan laporan berita automotif berbahasa Inggeris di Malaysia, MotaAuto, ketika litar Batu Tiga yang terletak di Shah Alam, Selangor sedang dirancang, litar Silverstone telah dijadikan sebagai idea awal dan beberapa bahagian daripada trek British itu telah diguna pakai.

Pereka bentuknya ialah anak kelahiran Belanda, John Hugenholtz, yang terlibat dalam pembinaan kebanyakan litar lama sebelum era Hermann Tilke—individu yang bertanggungjawab merancang sebahagian besar trek F1 hari ini (termasuk Litar Antarabangsa Sepang).
Hugenholtz juga pernah mereka bentuk beberapa trek F1 lain seperti Suzuka, Zolder, dan Jarama. Beliau mendapat pengiktirafan kerana memperkenalkan lapisan pagar di kawasan tertentu untuk menahan' kereta yang terkeluar dari trek dan memperlahankannya, berbanding menggunakan pengadang tegar yang boleh mendatangkan lebih bahaya kepada pemandu sekiranya berlaku perlanggaran.
Silverstone semestinya jauh lebih tua kerana dibuka pada tahun 1948, dan dibina di atas sebuah lapangan terbang yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua sebelum ditutup. Litar tersebut terletak di atas tanah yang lebih rata, manakala rupa bumi di Shah Alam adalah berbukit-bukau, dengan Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Port Klang terletak bersebelahan dengan tapak litar berkenaan.
Menjadi Tuan Rumah Pusingan Kejohanan

Litar Batu Tiga telah dibuka pada September 1967 dan menjadi lokasi yang popular selama beberapa dekad bagi acara kereta mahupun motosikal. Walaupun terdapat perlumbaan jentera satu tempat duduk (single-seater), litar ini tidak pernah menganjurkan mana-mana pusingan untuk kejohanan Formula 1.
Namun begitu, pada tahun 1985, satu pusingan Kejohanan Kereta Sukan Dunia (kini dikenali sebagai Kejohanan Ketahanan Dunia atau WEC) telah diadakan di Batu Tiga. Perlumbaan tersebut dinamakan Selangor 800 kms dan dimenangi oleh Jacky Ickx serta Jochen Mass yang memandu jentera Rothmans Porsche 956.
Litar asal ini adalah sepanjang 3.38 km dan dilengkapi dengan 12 selekoh, bersama satu laluan lurus yang panjang di sebelah utara yang dikenali sebagai Laluan Lurus Shell (Shell Straight). Pada tahun 1985, reka letak litar telah diubah suai sedikit di mana Laluan Lurus Shell yang panjang itu dipendekkan dengan kewujudan satu gelung (loop) di bahagian tengah trek. Pengubahsuaian ini menambah tiga selekoh baharu dan meningkatkan jarak satu pusingan kepada 3.69 km.
Ditutup Selepas 37 Tahun
Walaupun ia merupakan lokasi yang popular untuk pelbagai acara (termasuk motocross dan rali), Litar Batu Tiga akhirnya ditutup pada tahun 2003 memandangkan sudah wujud litar yang lebih moden dan mendapat pengiktirafan F1 di Sepang.
Pada satu ketika, pernah ada idea untuk membina sebuah kompleks sukan yang besar di kawasan tersebut termasuk mengekalkan litar itu sendiri, namun ia tidak pernah menjadi kenyataan. Sebaliknya, kerajaan negeri memutuskan bahawa adalah lebih baik untuk membenarkan pemaju swasta membina kediaman mewah di tapak berkenaan.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/