- Berita
- Berita Auto
- Bahana Langgar Lampu Merah, Nyawa 3 Sekeluarga Melayang

Nyawa tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun melayang selepas lori Jabatan Imigresen dipercayai melanggar lampu merah sebelum merempuh sebuah kereta dan melanggar pejalan kaki di persimpangan Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Mangsa ialah lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun yang meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kemalangan kira-kira jam 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction.
Isteri mangsa berusia 55 tahun yang juga ibu kepada dua anak perempuan berkenaan cedera di kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kosong, Proton Saga, Inokom Matrix dan empat pejalan kaki.
Siasatan awal mendapati lori Imigresen itu dipandu lelaki berusia 43 tahun yang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.
"Suspek dalam perjalanan ke sana untuk mengambil tahanan selepas operasi terhadap pendatang tanpa dokumen di kawasan berkenaan.
"Lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat bagi laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak terus melalui persimpangan selepas lampu isyarat bagi laluannya bertukar hijau.
Mohd Zamzuri berkata pemandu Saga dipercayai tidak sempat mengelak lori Imigresen berkenaan sebelum berlaku pelanggaran di tengah persimpangan.
"Impak pelanggaran menyebabkan lori Imigresen hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang semuanya adalah anggota keluarga sama.
"Lori itu turut melanggar sebuah Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan berhenti di persimpangan lampu isyarat," katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga pemandu terbabit tidak cedera.
"Polis kemudian menahan pemandu lori Imigresen berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.
"Ujian pernafasan bagi mengesan alkohol dan saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif," katanya.
Mohd Zamzuri berkata, polis sudah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sedang mengesan saksi bebas.
SUMBER BERITA HARIAN
Kami datang bukan datang ram langgar lampu
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/