- Berita
- Berita Auto
- Bukan Lagi Fantasi: MITI Rancang Projek Rintis Dron & Teksi Udara Di Universiti
Bukan Lagi Fantasi: MITI Rancang Projek Rintis Dron & Teksi Udara Di Universiti

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merancang melaksanakan projek rintis Ekosistem Lembah Tanpa Pemandu bagi memacu Ekonomi Altitud Rendah (LAE) di universiti tempatan sepanjang tempoh RMK13.
Ekosistem Lembah Tanpa Pemandu Dipelopori MITI
LAE merangkumi aktiviti ekonomi dan perkhidmatan awam dalam ruang udara altitud rendah yang memanfaatkan teknologi seperti dron, Mobiliti Udara Lanjutan (AAM), logistik udara, pemeriksaan infrastruktur, pertanian pintar dan perkhidmatan kecemasan.
Ekosistem itu turut merangkumi penggunaan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), teksi udara serta pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik (eVTOL).
Teknologi Dron, eVTOL & Teksi Udara
Melalui 'unmanned valley' ini, pelbagai infrastruktur penerbangan termaju termasuk sistem mendarat dan berlepas menegak atau vertiport bakal dibangunkan.
Ia turut merangkumi ujian operasi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), teksi udara, serta pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik (eVTOL).
Fokus Sasaran Golongan Muda & Aspek Keselamatan
Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin menyatakan bahawa pemilihan universiti sebagai lokasi rintis adalah untuk menarik minat generasi muda yang bakal menjadi pengguna utama teknologi ini.

Bagaimanapun, pihak MITI tetap terbuka untuk mempertimbangkan lokasi lain yang sesuai bagi menjayakan projek ini.
Cabaran utama yang diberi penekanan khas adalah aspek keselamatan ruang udara, bagi memastikan semua ujian dilaksanakan dalam persekitaran yang betul-betul terkawal.
Garis Panduan LAE Dijangka Diumumkan Hujung Tahun Ini
Bagi menyokong ekosistem ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang merangka garis panduan kawal selia dan tadbir urus ruang udara LAE.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini mengesahkan kerangka pengoperasian ini dijangka diumumkan menjelang Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026.
Garis panduan ini penting bagi memastikan integrasi ruang udara negara berjalan lancar dan selamat sebelum teknologi penerbangan altitud rendah ini diperluaskan secara komersial.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/