- Berita
- Tips
- Perincian Ciri-Ciri Keselamatan Perodua Ativa Yang Mengagumkan!
Perodua Ativa yang baru sahaja dilancarkan dapat dilihat memberi keutamaan kepada ciri-ciri keselamatan yang diperlukan oleh sebuah kenderaan. Model terbaharu ini dilengkapkan dengan pelbagai ciri keselamatan bagi kategori aktif dan juga pasif.


Elemen menarik yang diketengahkan Ativa dalam hal keselamatan ialah sistem yang dipanggil Perodua Smart Drive Assist. Sistem ini merangkumi pelbagai ciri keselamatan kereta seperti Bantuan Keselamatan Termaju (ASA), Bantuan Pemandu, Bantuan Parkir, dan Bantuan Lampu Depan.
Ciri Advanced Safety Assist 3.0 ialah yang pertama bagi syarikat Perodua dan didatangkan secara standard untuk model ini. Sistem lain yang ada ialah amaran pra-pelanggaran yang mana pemandu akan menerima isyarat sekiranya pelanggaran di bahagian hadapan akan berlaku. Ciri keselamatan ini turut lengkap dengan kebolehan untuk mengesan kenderaan beroda dua.

Bukan itu sahaja, pek keselamatan Perodua Ativa juga lengkap dengan ciri brek pra-pelanggaran atau brek kecemasan automatik yang akan mengesan ketiadaan input atau tindak balas daripada pemandu sebelum berlaku pelanggaran dan akan menekankan brek secara automatik untuk memberhentikan kereta.
Di samping itu, kereta ini turut menampilkan ciri keselamatan lain ialah Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak ke Depan. Fungsi penting seperti Pedal Misoperation Control (PMC) atau Kawalan Tersalah Tekan Pedal akan membantu pemandu mengelak daripada tersilap tekan pedal semasa parkir.
Berkenaan dengan Sistem Bantuan Pemanduan Autonomi Tahap 2 pula, ciri ini merangkumi lima buah sistem keselamatan. Yang pertama ialah Amaran Lencongan (LDW) yang memberi amaran kepada pemandu sekiranya berlaku lencongan haluan secara tidak sengaja.
Seterusnya ialah Kawalan Kekal Lorong yang membantu pemandu untuk berada pada jarak yang selamat dalam barisan laluan memandu. Juga terdapat Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) yang dapat mengesan kenderaan pada bahagian titik buta untuk memberi amaran kepada pemandu. Kereta ini turut lengkap dengan ciri Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) yang membenarkan pemandu untuk mengekalkan daya pecutan kenderaan pada kelajuan yang sama tanpa perlu menekan pedal.
Antara ciri bantuan parkir yang disediakan Ativa adalah termasuk sensor undur (hanya untuk varian X), serta ciri tambahan sensor hadpaan dan undur bagi varian H. Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) turu ditawarkan untuk varian AV yang memberikan pemandu kemudahan yang lebih ketika mengundur keluar dari petak parkir.
Mengenai bantuan lampu depannya pula, ciri yang ditawarkan adalah Lampu Suluh Tinggi Auto (AHB) dan Lampu Memandu Adaptif (ADB). AHB ditawarkan pada model asas, manakala ADB pula pada model yang lebih tinggi.
Lampu depan matriks LED pada Ativa berfungsi dengan kombinasi LED dan cermin berserta beberapa buah kamera dan sensor. Sensor dan kamera ini akan melakukan imbasan laluan di hadapan untuk mengesan kehadiran kenderaan lain atau mengesan perubahan yang berlaku pada permukaan jalan. Setiap lampu depan memiliki 9 buah LED yang menghasilkan matriks (yang terbahagi) yang akan bertindak balas mengikut data yang dikumpulkan dan disampaikan oleh sensor dan kamera. Ciri ini membenarkan kenderaan untuk mengesan kenderaan yang mendatang di samping boleh dimatikan oleh sensor dan juga perisian termaju secara automatik untuk mengelakkan silauan.
Berkaitan ciri keselamatan pasif Ativa, SUV ini lengkap dengan enam buah beg udara yang diletakkan pada tempat duduk pemandu, penumpang depan, tepi dan juga tingkap kenderaan. Sistem lain ialah seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan juga Bantuan Brek (BA) yang akan membantu ABS mengelakkan gelinciran tayar ketika brek ditekan dengan serta-merta.
Seterusnya ialah Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan yang dapat membantu mengurangkan masalah "understeer" atau "oversteer" terutama sekali ketika belokan dalam kelajuan yang tinggi. Signal berhenti kecemasan akan diaktifkan bersama dengan lampu amaran ketika brek secara tiba-tiba untuk memberi amaran kepada pemandu lain. Fungsi Bantuan Pegun Bukit juga disediakan untuk mengelakkan Ativa daripada bergerak ke belakang sekiranya pemandu terlepas brek ketika berada pada kedudukan menaik.
Perodua Malaysia turut mengumumkan bahawa ciri keselamatan Ativa akan menjadi penanda aras bagi kesemua model syarikat Perodua pada masa akan datang.

Gallery
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv