- Berita
- Pandu Uji
- Perodua Traz Bakal Cabar PROTON X50? Ini Sebabnya..

Pada minggu lepas, penulis dijemput Perodua untuk memandu uji SUV terbaharu mereka yang sebenarnya sudah dinantikan sejak sekian lama iaitu Perodua Traz di Litar Ujian Perodua, Sungai Choh, Rawang, Selangor.
Projek pembangunan Perodua Traz ini sebenarnya bermula dari Mei 2021 dengan menggunakan nama kod D66B. Traz dibangunkan dengan pelaburan RM563 juta selain menggunakan kandungan tempatan mencecah 95 peratus.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengenai nama yang digunakan iaitu Traz. Jika disebut Traz, mungkin ia kedengaran seperti Trust iaitu kepercayaan. Ada kemungkinan Perodua menggunakan nama Traz untuk menonjolkan sifat-sifat positif hasil keluarannya.


Seperti sedia maklum, Perodua Traz baru sahaja dilancarkan secara rasminya, ke pasaran tempatan, pagi tadi. Pada majlis pelancaran, Perodua mengesahkan bahawa Perodua Traz akan dijual bermula daripada RM76,100 hingga RM82,000.
Untuk makluman, Perodua Traz hadir dalam varian X 𝐑𝐌 𝟕𝟔,𝟏𝟎𝟎, 𝐇 𝐑𝐌 𝟖𝟏,𝟏𝟎𝟎, - 𝐇 2Tona 𝐑𝐌 𝟖𝟐,𝟎𝟎𝟎 (Pakej 𝐆𝐞𝐚𝐫𝐔𝐩 ).
Melihat sahaja luarannya, penulis cukup yakin Perodua Traz mampu menyaingi SUV lain yang ada di pasaran tempatan ketika ini. Dengan harganya, yang dilihat cukup marhaen, ia pastinya bakal menawan hati rakyat Malaysia!
NAMPAK SAMA DENGAN TOYOTA YARIS?

Sebaik tiba di ibu pejabat Perodua di Rawang, Selangor, kebanyakan media yang hadir pada sesi pandu uji menyifatkan Perodua Traz kelihatan hampir sama dengan kembarnya iaitu Toyota Yaris Cross.
Apa tidaknya, menjengah bahagian hadapanya, Traz saling tidak tumpah seperti Yaris Cross terutamanya lampu depan LED yang nipis dan tajam manakala kemasan grilnya kelihatan lebih kemas.


Jika diamati dengan lebih dekat, Perodua Traz hadir dengan sifat garisan dan berbentuk tajam yang sebenarnya menyerlahkan lagi rekaannya dan kemasan A-pillar pula hadir dalam warna hitam.
Bagi kemasan di setiap cerminnya, ia dihiasi dengan garisan krom silver kerana ia adalah satu trend ketika ini.


Melihat pada sisinya, tiada banyak garisan yang dimainkan sebaliknya, rekaannya bersih. Menjengah bahagian belakang pula, ia dipasang dengan spoiler yang agak besar, ada garisan-garisan dan lekukan tajam namun tidaklah begitu ketara namun sekadar untuk menaikkan seri sportynya.Malah, ia dipasang dengan lampu belakang berbentuk L, seolah-olah lampu Lexus.


Mengenai ruang butnya, ia seluas 471 liter dimana anda boleh memuatkan stroller, basikal lipat, empat beg besar, mahupun peralatan memancing. Pendek kata, anda boleh menyumbat barangan besar dalam but yang lebih luas berbanding Proton X50 ini.


Tidak ketinggalan, Perodua masih menyertakan tayar ganti. Nampaknya untung siapa beli kerana zaman sekarang, kebanyakan syarikat sudah tidak lagi menawarkan tayar ganti demi menjimatkan kos selain pembelian insurans kereta kini turut menyertakan servis tunda percuma.

Apa yang menarik bahagian luarannya, ia dipasang dengan rim bersaiz 17 inci dan bukannya menawarkan tayar murah sebaliknya menggunakan tayar Toyo Proxes CR1.

Pendek kata, bahagian hadapan, sisi dan belakangnya sebenarnya agak sama dengan Yaris Cross.
KABIN LUAS!


Sebaik melangkah masuk ke bahagian kabinnya, nampaknya perodua Traz menawarkan ruang kabin yang agak luas.
Apa tidaknya, dari segi dimensi, Traz berukuran 4,310 mm (Panjang), 1,770 (Lebar), 1,655mm (Tinggi), manakala jarak roda pula 2,620mm, sekali gus meletakkannya hampir dengan SUV segmen B+ dan menghampiri saiz beberapa SUV segmen C.

Sementara itu, jarak kelegaan tanahnya pula 210 mm. Ketika melabuhkan punggung di bahagian belakang penumpang memandangkan ramai media berkerumun di kerusi pemandu, saya mendapati bahagian kerusinya agak tinggi namun ia tidak menjejaskan ruang kepala.
Malah, ketika penulis melunjurkan kaki di bahagian belakang,tiada sebarang masalah sebaliknya cukup selesa dan apa yang penting, bahagian penumpang belakang kini dilengkapi dengan corong penghawa dingin.
Maka, penumpang belakang tidaklah akan berebut dengan pemandu untuk menghalakan penghawa dingin ke arah mereka.

Mengenai stereng, ia dibaluti dengan material kulit,larasan stereng teleskopik, perehat lengan kerusi belakang dengan ruang cawan,terdapat panel meter semi digital, Meter analog dengan paparan TFT 4.2 inci skrin infotainmen 9-inci yang menyokong sambugan Apple CarPlay, Android Auto. Namun ada perlu menggunakan kabel untuk menggunakan ciri terbabit.
Antara kelengkapan lain, bahagian papan pemukanya hadir dalam warna merah dan hitam, selain ia masih menggunakan butang fizikal untuk penghawa dingin. Malah, model ini masih menggunakan tombol gear yang biasa, Port USB A, C, dan hadir dengan Brek Parkir Elektronik,serta sentuhan material jenis lembut.
APA BEZA VARIAN X DAN H?
Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah perbezaan antara varian X dan H?
Jika melihat bahagian kedua-dua varian ini, ia sebenarnya kelihatan agak sama sehinggalah saya diberitahu kakitangan Perodua yang bertugas bahawa kedua-dua varian ini mempunyai sedikit perbezaan.


Misalnya, varian X tidak didatangkan dengan lampu kabus sebaliknya lampu kabus hanya ada pada varian H, dan H dua tona. Sementara itu, varian H hadir dengan corak padi di bahagian gril, cermin sisi dan welcome lamp.
Malah, varian H juga hadir dengan tambahan kamera 360-darjah (hanya kamera undur untuk X) dan dashcam. Selain itu, varian H n hadir dengan sistem kemasukan tanpa kunci.

Sementara itu, varian H ditawarkan dengan warna Electric Blue dan Glittering Silver dan ditawarkan dengan dwi tona (bumbung hitam), manakala varian X hanya satu tona.
Bukan itu sahaja, hanya varian H dilengkapi dengan ciri bukaan ruang but dengan mengayunkan kaki namun anda perlu membawa kunci. Varian X didatangkan dengan empat speaker manakala varian H, enam speaker.
Dari segi keselamatan, kedua-dua varian hadir dengan Sistem Bantuan Keselamatan A.S.A yang terdiri daripada enam beg udara, Kawalan Stabiliti Kenderaan dengan Bantuan Brek, Amaran Gerak Depan, Kawalan Salah Operasi Pedal, Amaran Pra Pelanggaran, Brek Pra Pelanggaran, Amaran Keluar Lorong, sensor kamera depan,sensor selekoh, kamera undur, Amaran Trafik Lintasan Belakang dan banyak lagi.
Malangnya, kedua-dua varian Traz tidak dilengkapi Adaptive Cruise Control (ACC).
Bagi yang memilih aksesori Gear-Up, para pelanggan akan menerima bodykit hadapan & belakang, Side skirts (bernilai RM2,700), pakej elavate bernilai RM900 terdiri daripada perumah cermin sisi, spoiler tengah, kemasan gril hadapan (corak padi), visor tingkap (RM210), pelapik kaki(RM300).
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej Gear Up, https://www.perodua.com.my/files/TrazGearUpCatalogue.pdf?v=1765937530.
PANDU UJI
Dari aspek kecekapan, Traz menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-VE DVVT-i dengan kuasa 105hp dan 138Nm, dipadankan dengan transmisi D-CVT. Perodua Traz mencatatkan penggunaan bahan api sehingga 21.3 km/l mengikut Mod Kitaran Pemanduan Malaysia.

Tahap kecekapan bahan api Perodua Traz adalah sebanyak 21.3 kilometer per liter bergantung kepada Mod Kitaran Pemanduan Malaysia.Gabungan enjin ini terkenal dengan ketahanan dan kecekapan bahan api, menjadikan Traz lebih jimat berbanding beberapa pesaing segmennya.
Ini bermakna, dengan tangki minyak 42 liter dan harga minyak bersubsidi, RON95 (RM1.99 seliter) ketika ini, Perodua membuat kiraan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu hanya memakan kos minyak sebanyak RM45.

Bagi merasai pemanduan Perodua Traz, penulis berkesempatan memandu uji Perodua Traz di litar pendek Perodua sejauh 4.1 km.
Sesi pandu uji dilakukan di litar yang cukup rata namun pada kelajuan yang sedikit tinggi, kadar kebisingan, gegaran dan kekasaran agak terkawal. Kedengaran sedikit bunyi enjin, namun ia adalah lumrah bagi mana-mana kereta petrol.
Daripada kelajuan 80 kilometer sejam, saya cuba menekan pedal minyak hingga ke 100 km/j nyata enjin 1.5 liter berupaya menyalurkan tenaga dengan baik. Apa yang penting, ketika menikmati pecutannya, terasa Traz agak stabil. Malangnya, saya tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut memandangkan pandu uji ini cukup ringkas.
Namun berdasarkan salah seorang wakil terakhir yang melakukan sesi pandu uji pada kelajuan 150km/j mendakwa kereta ini cukup stabil. Nampaknya, Carz.com perlu menunggu unit pandu uji untuk menguji keupayaan sebenar Perodua Traz.

Kesemua varian ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Cranberry Red, Glittering Silver, Ivory White dan Granite Grey namun varian H akan hadir dengan warna Electric Blue dan Glittering Silver dan ditawarkan dengan dwi tona (bumbung hitam), manakala varian X hanya satu tona.
Ketibaan Perodua Traz dijangka akan bersaing secara langsung dengan dua nama besar dalam segmen SUV B di Malaysia seperti Honda HR-V dan Proton X50.
Dengan rekaan dan harga yang mampu milik, penulis berpendapat, Perodua Traz sebenarnya mampu melangkah jauh berbanding dua seterunya itu.
Selain dijadikan kenderaan harian, kos untuk penyelenggaraan serta minyak Traz dilihat lebih jimat.
Berikut adalah kiraan yang dibuat Perodua untuk kos penyelenggaraan Traz:
-(1)-full.jpg)
Apa pula pandangan anda? Kongsikan pandangan anda di bawah ruangan ini!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/


