- Berita
- Tips
- Lexus UX 200: Perbandingan Kesemua 3 Varian
Lexus UX adalah model crossover terkecil keluaran Lexus. UX yang merupakan singkatan bagi Urban Explorer ini direka oleh Lexus dengan reka bentuk yang sangat stylish dan beraura berani. Model ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu UX Urban, UX Luxury and the UX F-Sport dengan harga yang bermula daripada RM 236,443.50.
Ciri Mekanikal
UX merupakan model pertama Lexus yang dibina berlandaskan platform Global Architecture – Compact (GA-C) ataupun Toyota New Global Architecture (TNGA) versi premium yang mana rekaan badannya adalah lebih ringan namun memiliki tahap kekukuhan yang tinggi. Cesi platform bagi UX ini menggunakan MacPherson Strut sebagai sistem suspensi hadapan dan Trailing Wishbone di bahagian belakang.
Kesemua varian Lexus UX 200 dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin 2.0 liter, 4 silinder yang mana kuasanya disalurkan kepada roda hadapan menerusi CVT Direct-Shift 10-kelajuan. Enjin yang digunakan membolehkan kereta menjana kuasa sehingga 169 hp pada 6,000 rpm dan 205 Nm tork pada 4,800 rpm. Kereta boleh memecut daripada pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 9.2 saat dan memiliki kelajuan tertinggi mencecah 190 km/j.
Bahagian Luar
Di bahagian luar, ciri dan sistem penting yang didatangkan secara standard bagi kesemua varian Lexus UX 200 ialah Smart Entry System, projektor LED 3 lampu suluh ultra-kompak (Ultra Compact 3-beam LED Projector) dan lampu kombinasi belakang LED.
Ultra Compact 3-beam LED projector
Lampu kombinasi belakang LED
Untuk rim yang digunakan pula, varian terendah, Urban, tampil dengan rim pengudaraan aero aluminium 17 inci. Bagi Luxury pula ialah rim aluminium bersaiz 18 inci. Sementara itu, F SPORT turut menggunakan saiz 18 inci namun dengan reka bentuk yang tersendiri.
Kabin Dalaman
Kemasan bagi bahagian dalam kabin yang digunakan bagi setiap varian adalah berbeza-beza. Urban menggunakan balutan kulit berkualiti tinggi dengan tona hitam, Luxury pula diberikan sentuhan unik iaitu penggunaan kemasan yang diilhamkan daripada seni tradisional Jepun iaitu kemasan dengan tekstur seperti kertas Jepun, Washi, di samping riasan logam. Manakala F SPORT pula dikemaskan dengan balutan kulit berkualiti tinggi serta riasan logam.
Kabin Lexus UX Urban
Kabin Lexus UX Luxury
Kabin Lexus UX F SPORT
Kesemua varian memiliki stereng dengan butang pelbagai fungsi dan dibalut dengan kulit. Namun F SPORT didatangkan dengan balutan kulit khas bagi variannya serta lengkap dengan pedal penukar gear.
Varian Urban dan Luxury menggunakan meter kombinasi digital skrin TFT berwarna penuh yang bersaiz 7 inci, manakala F SPORT pula bersaiz lebih 1 inci dengan movable meter ring. Varian tertinggi ini turut didatangkan dengan paparan-di-kepala (head-up display).
Paparan-di-kepala Lexus UX F SPORT
Lengkap dengan skrin paparan bersaiz 7 inci (Urban) dan 10.3 inci (Luxury dan F SPORT). Sistem ini boleh disambungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Skrin ini boleh dikawal dengan mudah menggunakan touchpad.
Skrin paparan 10.3 inci (Luxury dan F SPORT)
Untuk sistem audionya, kesemua varian menggunakan Lexus Premium Audio namun Urban hanya dilengkapi 6 speaker berbanding varian lebih tinggi yang menggunakan 8 buah speaker.
Bagi aspek keselesaan, kesemua varian turut dilengkapi dengan penyejuk udara dwi-zon dengan corong udara bagi tempat duduk belakang. Namun bagi varian Luxury yang menawarkan ciri keselesaan tambahan, ia dilengkapi sistem Lexus Climate Concierge. Sistem istimewa ini membantu mengawal suhu keseluruhan kabin termasuklah pengudaraan (ventilation) pada tempat duduk depan.
Storan
Saiz but untuk varian Urban adalah lebih kecil berbanding yang lain iaitu 228L. Bagi varian lebih tinggi, saiz but adalah lebih besar dengan kapasiti 271L yang boleh dibuka secara automatik menggunakan kick-start.
Ciri Keselamatan
Lexus UX didatangkan dengan sistem keselamatan sofistikated, Lexus Safety System + (LSS+) yang merangkumi teknologi pra-pelanggaran, kawalan layar radar dinamik, sistem kekal lorong dan juga sistem lampu suluh tinggi adaptif.
Ciri keselamatan lain yang terdapat dalam kesemua varian adalah seperti berikut:
- 8 beg udara SRS
- Bantuan Selekoh Aktif (ACA)
- Sistem Membrek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD dan Bantuan Brek (BA)
- Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TRC)
- Bantuan Mula-daki
- Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dengan Lokasi Auto
- Radar Parkir Depan dan Belakang
- Bantuan Pemantauan Parkir Undur
Bagi varian lebih tinggi iaitu Luxury dan F SPORT, terdapat ciri tambahan lain iaitu:
- Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Pemantauan Keliling Panoramik (PVM)
Ringkasan Spesifikasi Kesemua Varian Lexus UX 200
Lexus UX 200 ditawarkan dalam warna-warna yang berikut:
- Sonic Quartz
- Platinum Silver Metallic
- Sonic Titanium
- Graphite Black Glass Flake
- Madder Red
- Amber Crystal Shine
- Blazing Carnelian
- Terrane Khaki
- Celestial Blue
Harga
Ditawarkan dalam tiga varian, bermula daripada harga (atas jalan tanpa insuran) RM 236,443.50 untuk UX Urban, RM 274,998.50 untuk UX Luxury dan RM 290,335.00 bagi UX F SPORT.
Jaminan
Pembelian kereta baharu berjenama Lexus didatangkan dengan jaminan komprehensif selama lima tahun tanpa had perjalanan dengan syarat, kenderaan mestilah diservis setiap 10,000 km atau enam bulan (mana-mana yang berlaku dahulu) di pusat servis sah Lexus.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv