- Berita
- Berita Auto
- Honda City Hatchback Dilancar: Harga Bermula RM75,670
Setelah sekian lama menantikan kemunculan Honda City Hatchback, akhirnya Honda Malaysia secara rasminya melancarkan model itu ke pasaran Malaysia semalam.
Apa yang paling menarik mengenai jentera ini, pasukan penyelidikan dan pembangunan Honda dikatakan telah membangunkan jentera ini lebih kukuh enam peratus berbanding Jazz.
Ini bermakna, ia menawarkan kerangka berketegaran tinggi untuk keselamatan jika berlaku pelanggaran.
Model pengganti kepada Honda Jazz GK ini ditawarkan kepada empat varian iaitu 1.5 S, 1.5 E, 1.5 V, RS :e:HEV.
Bagaimanapun, varian RS e:HEV hanya akan mula ditawarkan pada Januari depan.
Jadi, harganya akan dimaklumkan kelak memandangkan buat masa ini, Honda Malaysia mahu menumpukan lebih perhatian kepada varian utama mereka sebelum memperkenalkan varian hibrid.
Untuk rekod setakat hari ini, Honda Malaysia mengakui bahawa pihaknya telah menerima lebih 2,000 tempahan sejak syarikat itu membuka tempahan model itu pada awal bulan lalu.
"Hari ini, Honda Malaysia akan mencipta satu lagi sejarah penting dengan menawarkan model City yang popular dalam bentuk hatchback. Sejak bertahun-tahun menerusi generasi yang lalu, City berevolusi dan menjadi antara model sedan segmen B yang paling diminati di Malaysia.
"Lebih daripada 380,000 unit terjual di pasaran Malaysia sejak City Generasi ke-2 diperkenalkan pada 2002.
"Kami sangat teruja untuk melancarkan model terbaharu kami yang cukup menarik perhatian, City Hatchback. Ia akan menjadi model yang akan menetapkan trend menerusi teknologi termaju yang pertama dalam segmennya, ciri premium, versatiliti konfigurasi ULTRA Seats dan paling penting, ia sangat seronok dipandu," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo.
Melihat tempahan yang agak memberangsangkan itu, Honda menyasarkan sekitar 1,000 jualan untuk sebulan.
Sasaran itu mungkin boleh dicapai memandangkan jentera yang berkonsepkan 'Energetic Hatchback' ini tampil lebih aktif, bergaya dan versatil. Jadi, susah pasti ia bakal menggoda anak muda yang mahu sebuah hatchback yang bergaya sporty!
Sebelum itu, anda perlu tahu bahawa varian RS dikatakan agak berlainan dengan tiga varian berkenaan.
Ini kerana rekaan RS dikatakan lebih eksklusif, penggayaan agresif selain didatangkan dengan kemasan hitam berkilat pada gril dan perumah cermin sisi hitam.
Apapun, harga yang ditawarkan sebenarnya amat berpatutan!
Untuk makluman anda, varian asas iaitu 1.5 S ditawarkan pada harga RM75,670, varian pertengahan 1.5 E (RM83,060) dan varian tertinggi 1.5 V pula bermula RM87,860.
Daripada pandangan kasar, City Hatchback ini sebenarnya dihasilkan daripada model sedannya dengan hanya membuang but belakang, menjadikan ia 208 mm lebih pendek dengan ukuran panjang 4,345 mm dan 21 mm lebih tinggi (1,488 mm). Namun untuk untuk dimensi lain ia kekal sama dengan sedan iaitu 1,748 mm lebar dan jarak roda 2,589 mm.
Menyentuh mengenai prestasi jentera baharu ini, kesemua varian menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork 145 Nm.
Sebaliknya, ia masih dipadankan dengan kotak gear CVT automatik yang bertujuan untuk memacu roda hadapan.
Begitupun, varian City e:HEV pula dijana dengan enjin 1.5L Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang dipadankan dengan transmisi e-CVT, dan kuasa setinggi 109 PS dan daya kilas 253 Nm, tertinggi di dalam kelasnya.
Menjengah bahagian dalamannya, ketiga-tiga varian ini didatangkan dengan skrin infotainmen Display Audio bersaiz lapan inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit untuk varian V dan brek tangan fizikal, sementara varian RS pula mendapat tambahan kelengkapan yang merangkumi upholsteri Ultrasuede dengan jahitan kontras merah pada tempat duduk, paparan TFT tujuh inci, brek parkir elektrik, serta corong pendingin hawa baris kedua.
Menyentuh mengenai keselesaan, ciri dalamannya juga dilihat sama seperti Jazz.
Jentera serba baharu ini juga didatangkan dengan Ultra Seats dimana terdapat empat larasan tempat duduk fleksibel iaitu mod Refresh, Long, Tall dan Utility.
Pendek kata , setiap ciri yang ada pada City Hatchback ini hampir sama seperti kelengkapan yang diberikan pada model sedan.
Maka, mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah perbezaan antara ketiga-tiga varian ini. Di sini, CariCarz menyenaraikan butiran lanjut mengenai setiap varian.
Bagi model asas 1.5 S, ia digandingkan dengan lampu hadapan jenis projektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, rim aloi 15-inci kemasan perak, sistem masuk tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, pendingin hawa manual, upholsteri fabrik, pemain audio biasa dengan hubungan Bluetooth serta empat pembesar suara.
Varian 1.5 E pula hadir dengan rim aloi kemasan dua tona, penghidup enjin kawalan jauh, sistem pendingin hawa automatik zon tunggal.
Ia juga dilengkapi dengan pedal penukar gear, kawalan pelayaran, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 8-inci, sambungan Apple Carplay dan Android Auto serta kamera undur.
Model tertinggi 1.5 V pula menerima rim aloi 16-inci kemasan dua tona, lapan pembesar suara dan lampu kabus hadapan LED.
Dari segi keselamatan, City Hatchback didatangkan dengan empat beg udara, sistem Brek Anti-Kunci, Agihan Brek Elektronik, Bantuan Brek, Amaran Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki dan ISOFIX, sementara varian V pula menerima enam beg udara, serta sokongan Honda LaneWatch.
Bagi varian RS e:HEV pula, ia menerima kelengkapan Honda Sensing seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Brek Mitigasi Pelanggaran, Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Mitigasi Keluar dari Jalan, Amaran Keluar Lorong dan Lampu Tinggi.
Honda City Hatchback ini hadir dengan warna baharu: Ignite Red and Meteorite Grey Metallic. Pilihan warna lain ialah Platinum White, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic.
Bagi yang berhasrat untuk membeli varian RS E: anda kena tunggu sebulan lagi untuk mengetahui harga sebenar varian berkenaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai City Hatchback ini, anda boleh mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda di seluruh negara atau layari laman web www.honda.com.my.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari