- Berita
- Berita Auto
- Rundingan Gagal, Rancangan Tesla Untuk Bina Kilang Di Indonesia Batal
Rundingan Gagal, Rancangan Tesla Untuk Bina Kilang Di Indonesia Batal
Tesla membatalkan perancangan untuk membina kilang di Indonesia selepas gagal mencapai persetujuan dengan kerajaan negara tersebut. Salah satu ketidaksetujuan antara kedua-dua pihak ini adalah berkaitan dengan bekalan bahan mentah untuk menghasilkan penjana kuasa.
Dua pegawai kerajaan Indonesia dalam kenyataan mereka menyatakan isu ini timbul apabila Tesla tidak membalas emel yang telah dihantar.

Pegawai kanan Indonesia yang mengetuai syarikat minyak utama, Nicke Widyawati berkata, Tesla berminat untuk membina sebuah kilang bagi menghasilkan sistem storan tenaga, alat mudah alih yang boleh menyimpan puluhan megawatt untuk dihantar ke kawasan pedalaman.
Kerajaan Indonesia pada bulan Februari 2021 yang lalu telah menerima surat cadangan daripada Tesla. Pada ketika itu, ia teruja untuk bekerjasama dengan syarikat gergasi tersebut bagi membangunkan teknologi bateri lithium bertaraf dunia.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan memaklumkan pada 25 Mac baru-baru ini, wakil Tesla ada menghubunginya sekali lagi bagi menyatakan minat untuk melabur di Indonesia selepas rancangan sebelum ini dibatalkan.
Ujar Luhut, rancangan tersebut gagal kerana Tesla seperti ingin mengarah Indonesia, "Saya kata, dua tahun lalu kamu menghubungi saya dan mahu menghasilkan bateri lithium. Anda semua seperti hendak mengarah-arahkan kami.
Anda tidak boleh buat begitu. Hari ini berbeza. Kita mesti adil. Negara ini bukan republik pisang. Ini ialah sebuah negara yang hebat!” tegas Luhut.
Luhut menegaskan bahawa Tesla perlu mematuhi syarat yang dikenakan, sama seperti negara-negara pelabur lain. Antara syarat yang dikenakan ke atas pelabur asing yang berminat untuk melabur di Indonesia adalah untuk melakukan pemindahan teknologi, mesra alam, melatih pekerja tempatan dan memberi nilai tambah.
Pada 15 September tahun lalu, sebuah konsortium yang diketuai LG Energy Solution, anak syarikat kepada LG Chem telah melakukan acara pecah tanah kilang untuk membangunkan kilang bateri kenderaan bernilai bernilai AS$1.5 bilion (RM6.31 bilion) di Kerawang, Jawa Barat. Kilang tersebut memiliki kapasiti 10 gigawatt-jam dan bakal ditingkatkan kepada 30 GWh.
Sementara itu, Contemporary Amperex Technology (CATL) dari China pula bakal melaburkan sebanyak AS$5 bilion (RM21 bilion) menjelang tahun 2023 dan AS$15 bilion (RM63.1 bilion) lagi selepas tahun 2028.
Indonesia yang memiliki sumber nikel terbesar di dunia berminat untuk membangunkan rantaian penuh bekalan tersebut, bermula dengan pengekstrakan bahan kimia bateri hinggalah kepada penghasilan bateri untuk pembuatan kenderaan elektrik.
Menurut Presiden Indonesia, Joko Widodo, "Kami memiliki nikel, kobalt, bahan-bahan utama untuk menghasilkan bateri litium, serta bauksit yang boleh diproses menjadi aluminium dan seterusnya digunakan untuk membuat bingkai kenderaan elektrik. Selain itu, tembaga yang turut diperlukan oleh bateri dan sistem pendawaian dalam kenderaan elektrik."
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv