- Berita
- Teknologi
- Tesla Ubah Prinsip, Sedia Tawar Apple CarPlay Untuk Tarik Pembeli

Selepas bertahun berpegang teguh dengan pendirian untuk tidak menerima platform pihak ketiga, pengeluar kenderaan elektrik (EV) Amerika Syarikat, Tesla, dilaporkan bersedia untuk ‘menarik balik’ prinsipnya. Berdasarkan laporan Bloomberg melalui Reuters, Tesla mungkin akan mula menyokong dan mengintegrasikan Apple CarPlay dalam kenderaannya tidak lama lagi.
Keputusan ini agak ‘luar biasa’ memandangkan Tesla selama ini tegas menolak teknologi Apple. Memetik sumber yang "rapat dengan isu tersebut," Bloomberg melaporkan bahawa Tesla baru-baru ini telah memulakan pembangunan untuk menyokong ciri ini.
Kenapa Tesla Ubah Pendirian?



Keputusan Tesla untuk ‘berlembut hati’ memasukkan sambungan Apple CarPlay sebagai sebahagian daripada ciri kenderaan dipercayai berkait dengan prestasi jualan Tesla yang dilaporkan mula perlahan sejak kebelakangan ini.


Sebuah kajian menunjukkan bahawa 25% pembeli EV dan 38% pembeli kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) akan menolak untuk membeli sesebuah kenderaan jika ia tidak mempunyai sokongan untuk mana-mana teknologi pencerminan (mirroring) telefon pintar.
Bagaimana Dengan Android Auto?
Walaupun ini adalah berita baik untuk pengguna Apple yang memiliki atau mengakses kenderaan Tesla, situasi yang sama tidak dapat dipastikan bagi Android Auto, iaitu pesaing kepada Apple CarPlay yang dibangunkan oleh Google. Setakat ini, tiada sebarang petanda yang menunjukkan Tesla akan turut mengguna pakai teknologi Android.
Trend Di Malaysia & Pelancaran Apple CarPlay Tesla


Proton Saga (MC3) 2026 hadir dengan ciri sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Di Malaysia, penggunaan teknologi pencerminan telefon pintar sudah menjadi kebiasaan. Jenama automotif negara, Proton juga telah berusaha keras untuk menghadirkan teknologi ini dalam kenderaan yang dikeluarkannya, bukan sahaja pada model berasaskan Geely. Contoh terbaru ialah sedan Proton Saga terbaru yang mana sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (tanpa wayar) menjadi perhatian ramai.


Kembali kepada Tesla, buat masa ini, masih tidak jelas bila jenama ini merancang untuk melancarkan teknologi ini. Sebaik tersedia nanti, ia berkemungkinan akan ditawarkan melalui kemas kini perisian over-the-air (OTA) kepada para pengguna.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv


