- Berita
- Berita Auto
- Stellantis Bekerjasama Dengan Leader Energy Group Untuk Pasang Panel Solar
Stellantis Bekerjasama Dengan Leader Energy Group Untuk Pasang Panel Solar

Stellantis telah memeterai kerjasama dengan Leader Energy Group bagi memperluaskan penjanaan tenaga solar di Gurun, Kedah.
Hasil kerjasama itu membabitkan proses pemasangan, pengendalian, penyelenggaraan serta pembiayaan sistem fotovolta solar (PV).
Ketua dan Pengedar Am & ASEAN di Stellantis, Christophe Musy berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada membina perniagaan yang mampan dan menguntungkan.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Leader Energy yang membantu kami menyumbang kepada perjuangan menentang perubahan iklim.
“Kerjasama ini adalah langkah positif untuk rantau ASEAN dan akan membantu Stellantis dalam mencapai sasaran sifar bersih karbon menjelang 2038,” katanya dalam satu kenyataan.
Stellantis telah mengambil alih hak milik kilang Gurun pada November tahun lalu.

Kilang itu kini memasang dan membekalkan model-model penting Peugeot seperti 2008, 3008 dan 5008 untuk pasaran ASEAN, termasuklah Malaysia, Filipina, Thailand dan Kemboja.
Menyentuh mengenai pemasangan sistem PV di kilang berkenaan, ia telah mengambil masa selama empat bulan dan sudah pun siap sepnuhnya pada 31 Oktober lalu.
Difahamkan, sistem tersebut berupaya menjana output maksimum sebanyak 2,189.81 kWp elektrik.
Lebih menarik, dalam tempoh 21 tahun akan datang, ia dijangka akan menjana 54.81 GWh tenaga atau kira-kira 34% daripada keperluan penggunaan tenaga tahunan kilang terbabit
Malah, penggunaan tenaga solar juga akan mengimbangi kira-kira 1963.4 tan karbon dioksida setiap tahun.
Ini bermakna jumlah berkenaan bersamaan dengan 50,340 batang pokok yang ditanam dalam setahun.
Untuk makluman, Stellantis mahu mengorak langkah ke hadapan dengan mengguna pakai tenaga suria untuk mencapai pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2038 iaitu sebagai sebahagian daripada strategi Dare Forward 2030.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/