- Berita
- Berita Auto
- Hari Indah Bertukar Tragedi, 6 Maut Semasa Dalam Perjalanan Berkelah
Hari Indah Bertukar Tragedi, 6 Maut Semasa Dalam Perjalanan Berkelah
Hari indah bertukar tragedi selepas kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki terlibat dalam kemalangan kerana hilang kawalan.
Kemalangan ini dilaporkan berlaku di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang yang melibatkan dua kenderaan, Myvi dan MPV Honda Stream pada jam 4.40 petang semalam.
Semasa kejadian, Myvi yang dinaiki lapan individu termasuk tiga kanak-kanak dalam perjalanan untuk berkelah di pantai Air Papan Mersing itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan Honda Stream.
Enam dilaporkan maut iatu Masrina Kahdar, 21, yang meninggal dunia di lokasi kejadian serta kakaknya, Siti Nurzannah, 25, meninggal dunia di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom. Turut meninggal di tempat kejadian ialah Mohd. Aidil Abdul Kadir, 23, Muhammad Zhafrah Noramin, 16 dan adiknya, Muhammad Syakir, 11, serta Mohammad Asyraf Radiq Abdullah, 11.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, selain itu, pemandu Perodua Myvi, Mohd. Sharizan Syafandi, 24, serta Nur Annalesha Rania Mohammad Arifin, 6, mengalami cedera parah dan dirawat di hospital sama.
“Kemalangan itu turut menyebabkan mangsa yang menaiki Honda Stream iaitu Zulkefly Zakariah, 54, dan isteri, Kamariah Yusoff, 46, serta anak mereka, Ariana Nur Batrisyah, 13, cedera parah.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dipandu oleh Mohd. Sharizan datang dari arah Kluang menuju ke Kahang sebelum dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan,”katanya.
Honda Stream yang dipandu oleh Zulkeflly tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar bahagian sebelah kiri Myvi tersebut. Impak pelanggaran menyebabkan Myvi itu terbalik sebelum terjatuh ke kawasan lapang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Al-fatihah kepada semua mangsa.
Sumber berita: Kosmo | Foto: Khairen Anuar via Facebook
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv