- Berita
- Global
- Nissan Almera Facelift Dilancar Di Thailand, Gril V-Motion Baharu & Ada Ekzos Palsu?
Nissan Almera Facelift Dilancar Di Thailand, Gril V-Motion Baharu & Ada Ekzos Palsu?
Nissan Almera generasi keempat baru-baru ini telah diberi nafas baharu setelah Almera versi facelift 2023 dilancarkan di negara Thailand. Untuk versi facelift ini, Almera telah diberikan beberapa pembaharuan kecil pada bahagian luar selain turut dipertingkat dari segi keselamatan.
REKA BENTUK ALMERA FACELIFT 2023
Sudut hadapan Almera telah diperbaharui dengan penggunaan gril V-Motion baharu, menggantikan gril V-Motion dengan corak sarang lebah yang digunakan sebelum ini. Gril kali ini hadir dengan corak garisan mendatar seperti yang terdapat pada Nissan Ariya dan Leaf facelift. Warna baharu, kelabu Gray Sky Pearl turut ditawarkan.
Namun, secara keseluruhannya, tiada perubahan besar yang dapat dilihat pada bahagian luar kenderaan melainkan sekiranya pembeli mendapatkan pakej aksesori tambahan yang ditawarkan Nissan Thailand.
PAKEJ AKSESORI TAMBAHAN
Sama seperti kit aero Tomei yang disediakan untuk model terdahulu, pakej aksesori ini terdiri daripada beberapa elemen aero untuk bahagian luar dan ciri tambahan lain di kabin. Antara yang terdapat dalam pakej ini ialah pilihan kit badan berwarna hitam, spoiler belakang "ducktail” dan sirip aero pada bahagian atas bumbung.
Termasuk dalam pakej ini adalah penambahan saluran ‘ekzos palsu’ pada bahagian tengah belakang untuk menyempurnakan faux diffuser di bahagian ini.
Sementara itu, bahagian kabin kereta pula diberikan aksesori seperti set pedal sporty dengan plat tendangan (kicking plate), tikar lantai dua lapisan, dan plak Almera pada ambang pintu kereta.
KABIN ALMERA FACELIFT 2023
Bergerak ke bahagian dalam kabin, Almera facelift 2023 lengkap dengan pengecas tanpa wayar, sistem infotainmen skrin 8-inci NissanConnect yang boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem navigasi Google Maps dan teknologi arahan suara.
Servis terhubung, NissanConnect, membolehkan kenderaan dikawal dari jarak jauh menggunakan telefon pintar melalui aplikasi Nissan. Antara fungsi yang boleh dikawal adalah termasuk kunci pintu kereta, hon, lampu, penghidup enjin, serta fungsi Car Finder yang membantu pengguna untuk mencari lokasi kereta.
CIRI KESELAMATAN ALMERA FACELIFT 2023
Dalam aspek keselamatan, Almera facelift dilengkapi Nissan 360 Safety Shield versi terkini. Antara ciri sistem bantuan pemandu maju (ADAS) yang tersedia termasuklah amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelanggaran hadapan (FCW) yang dipertingkat, paparan pandangan 360 darjah, bantuan lampu suluh tinggi, amaran keluar lorong (LDW) dan banyak lagi.
ENJIN ALMERA FACELIFT 2023
Dari segi enjin, Almera facelift masih dikuasakan oleh enjin yang sama, enjin turbo tiga silinder 1.0L yang menghamburkan kuasa setinggi 99 hp/152 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda hadapan (FWD) melalui transmisi Xtronic CVT daripada Jatco, yang juga sama seperti sebelum ini.
HARGA ALMERA FACELIFT 2023 DI THAILAND
Bagi pasaran Thailand, Almera facelift ditawarkan dalam empat varian, dengan harga bermula dari THB 549,000 (RM72,861) untuk varian asas gred E, hingga THB 699,000 (RM92,952) untuk varian tertinggi, VL. Harga yang dinyatakan tidak termasuk pakej aksesori yang bermula dari THB 11,900 (RM1,586) untuk pakej Iconic asas, manakala Pakej Ultimate lengkap dijual pada harga THB 29,990 (RM3,998).
ALMERA FACELIFT 2023 DI MALAYSIA
Pihak Edaran Tan Chong Motors (ETCM), pengedar tempatan bagi Nissan, belum mengumumkan sebarang rancangan untuk membawa masuk Almera facelift dalam masa terdekat. Pendapat kami, memandangkan Toyota telah menggantikan Vios lama dengan versi generasi baharu, dan Honda Malaysia pula kini sedang merancang untuk melancarkan sedan City facelift, ini mungkin waktu yang sesuai untuk ETCM menyegarkan penawaran sedan segmen B mereka supaya kekal kompetitif dengan pesaing yang lain.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv