- Berita
- Global
- Porsche 718 Spyder RS, Bumbungnya Paling Menggoda

Porsche memperkenalkan 718 Spyder RS sebagai pelengkap kepada model 718 Cayman GT4 RS.
Ia yang disumbat dengan nadi boxer enam silider aspirasi natural 4.0 liter mampu menghamburkan kuasa setinggi 493hp dan tork 450Nm.

Jentera ini yang dipadankan dengan transmisi PDK nisbah pendek tujuh kelajuan dikatakan mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 3.4 saat.
Sementara itu, kelajuan maksimum adalah sekitar 308 km/j.
Menurut Porsche, bumbung terbuka "menjadikan bunyi enjinnya sangat mengujakan
Ia dimantapkan dengan kesesuaian ekzos sukan keluli tahan karat ringan dan saluran udara gentian karbon baharu yang berbeza yang dipasang hanya di sebelah tempat letak kepala.

Direka bentuk untuk keseronokan maksimum ketika menelusuri jalan berliku,” 718 Spyder RS membawa pakej naik taraf casis yang diasah trek yang sama dalam Cayman GT4 RS.
Malah, sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) boleh direndahkan sebanyak 30 mm.


Ia juga dilengkapi dengan pembeza gelincir terhad mekanikal, galas suspensi bebola, dan rim aluminium tempa bersaiz 20 inci.
Spyder RS ini juga menggunakan tempat duduk bucket yang dilapisi kulit dan gentian mikro, dan pemegang pintu mekanikal ditukar dengan tali tarik.
Ciri-ciri sportynya juga meleret sehingga ke stereng. Ia menggunakan unit RS minimalis yang menampilkan tanda garis tengah kuning 'jam 12'.

Bagi bahagian bumbungnya, ia menggunakan jenis soft-top dimana terdapat dua bahagian, dan boleh terus ditanggalkan dan disimpan.
Bahagian bumbungnya boleh dikendalikan secara manual dan diperbuat daripada kanvas lapisan tunggal yang ringan.
Di sebalik itu, keseluruhan struktur beratnya hanya 18.3 KG, menjadikannya 7.6 KG lebih ringan berbanding Spyder bukan RS dan sehingga 16.5 KG kurang daripada Boxster standard.

Malah ia juga menggunakan sayap belakang 'ducktail' yang menonjol sekali gus menjanjikan aerodinamik yang dipertingkatkan dengan baik.


718 Spyder RS ini juga memiliki berat badan sekitar 1,410 kg, atau 40 kg lebih ringan berbanding 718 Spyder, atau 5 kg lebih ringan berbanding 718 Cayman GT4 RS.

Turut ditawarkan pakej Weissach yang merangkumi komponen seperti rim magnesium, tip ekzos titanium, kemasan luaran yang diinspirasikan daripada model 935, serta balutan Race-Tex anti-silau pada bahagian atas papan pemuka.
Buat masa ini, pengeluarannya tidak dihadkan dan Porsche juga uga tidak meletakkan tarikh tamat untuk pengeluaran.

Mengenai harga, di Jerman, Porsche 718 Spyder RS dijual pada harga €151,215 (lebih kurang RM738,802).
Apa pula pandangan anda mengenai jentera ini?
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
