- Berita
- Global
- Porsche Cayenne ICE 'Kekal Bernafas' Sehingga 2030-an Akan Datang

Pelancaran Cayenne Electric generasi keempat serba baharu semalam merupakan detik bersejarah bagi pengeluar kereta sport ternama Jerman itu, kerana ia kini menjadi model yang paling berprestasi tinggi dan canggih dihasilkan Porsche.
Tetapi… seperti yang telah kita saksikan pada Macan generasi kedua, keputusan untuk beralih sepenuhnya kepada versi elektrik mungkin kurang sesuai buat masa ini, kerana ia secara tidak sengaja 'meninggalkan' pembeli setia yang belum bersedia untuk ‘melompat’ ke arah EV. Dan untuk model SUV yang laris ini, bermakna Porsche berisiko kehilangan ramai pelanggan.
Jangan Risau, Sebab…

Porsche dilaporkan telah mengesahkan bahawa Cayenne generasi semasa (ketigas) versi enjin pembakaran dalaman (ICE) akan terus ditawarkan buat masa ini. Menurut sumber yang dipetik oleh Autocar UK, Cayenne masih akan ditawarkan dalam tiga pilihan trenkuasa termasuk petrol, hibrid dan elektrik. Anggaran 'kehidupan' versi trenkuasa ini adalah sehingga “jauh ke tahun 2030-an.”
"Kami akan terus membangunkan Cayenne dengan sistem pembakaran dan hibrid yang cekap sehingga dekad akan datang," kata Ketua Pemasaran Porsche, Matthias Becker, kepada portal tersebut.
Cayenne Sedia Ada Akan Terus Diberi Penambahbaikan


Porsche sebelum ini dilaporkan telah mengesahkan bahawa mereka akan terus membangunkan dan memberikan "naik taraf selanjutnya" kepada Cayenne generasi semasa. Walaupun tempoh masa tidak didedahkan, memandangkan model itu baru sahaja menerima penyegaran semula yang menyeluruh pada 2023, perubahan yang akan dibuat dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Untuk pengetahuan pembaca, Cayenne generasi ketiga facelift diperkenalkan pada April 2023, dan sejak itu pilihan bagi model ini terus berkembang melalui penawaran varian PHEV di samping ICE.
Porsche Cayenne Di Malaysia
Di Malaysia, ini mungkin petanda bahawa usaha pemasangan tempatan (CKD) Cayenne facelift, termasuk varian standard dan S E-Hybrid Coupe, akan diteruskan seperti biasa.
Pengecualian cukai EV CBU yang akan berakhir tidak lama lagi akan menaikkan harga Cayenne Electric baharu di luar kemampuan pasaran. Untuk makluman, dengan insentif, harga Macan Electric bermula dari RM430,000 dan Taycan dari RM575,000, tetapi angka ini dijangka meningkat hampir sekali ganda selepas 1 Januari 2026.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

