- Berita
- Global
- Lexus Dedah SUV Terkecil Mereka, Berjiwa Muda!

Selepas beberapa minggu imej teaser disiarkan, Lexus LBX akhirnya didedahkan secara global baru-baru ini.
Model yang memakai nama singkatan LBX iaitu Lexus Breakthrough X(cross)-over ialah model kedua Lexus yang menggunakan tiga perkataan .

Sebelum ini, Lexus menamakan supercar ikonik Lexus LFA yang bernadikan V10.
Untuk pengetahuan anda LBX berkongsi platform TNGA -B iaitu sama dengan kembarnya, Toyota Yaris Cross (XP210).


Ini menjadikan ia adalah kenderaan utiliti sukan kedua yang menyokong platform berkenaan selain dimensi Lexus LBX juga dikatakan sama dengan Yaris Cross.
Menyentuh mengenai dimensinya, panjang LBX ialah 4,190mm, lebar 1,825mm, tinggi 1,545mm dan jarak roda 2,580mm sekali gus menjadikan ia sebagai model Lexus paling kecil setakat ini.
Malah, ia bukan sahaja model terkecil berbanding CT hatchback tetapi antara model paling ringan kerana ia cuma seberat 1,280 kilogram (kg) berbanding CT (1,420 kg).

LBX juga berkongsi rangkaian kuasa hibrid yang sama seperti Yaris Cross Hybrid, dimana ia menampilkan enjin petrol 1.5 liter 3 silinder yang dipadankan dengan motor elektrik yang dipasang di belakang.
Dikhabarkan ia mampu menghasilkan kuasa setakat 134 hp dan 185 Nm selain mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam 9.2 saat
Lebih menarik, ia mampu menunda muatan seberat 750kg.
Difahamkan, semua varian LBX ditawarkan dengan kotak gear CVT sebagai standard, manakala pelanggan boleh memilih sama ada mahu memilih varian pacuan roda hadapan (FWD) atau pacuan semua roda (AWD).
Apapun, semua varian LBX ini juga menggunakan suspensi MacPherson pada bahagian depan dan tetapan berbeza pada bahagian belakang.


Dari segi visual, LBX kelihatan agak menyerlah sebagai versi mewah Yaris Cross, dimana ia menampilkan fasia hadapan yang menonjol dengan lampu hadapan LED yang tajam manakala grilnya agak besar.
Menariknya, hud hadapan kereta diperbuat daripada aluminium dan resin terbentuk pada lingkungan roda, alang dan bahagian bawah pintu.
Ia sebenarnya membantu untuk mengurangkan berat kereta.


Bahagian belakang pula, SUV itu mendapat lampu belakang LED yang cukup bergaya dimana ia merentasi kelebaran kereta itu manakala bahagian bawah bampar belakang menampilkan sisipan udara.
Sebaliknya, walaupun ia bersaiz kecil namun ia menggunakan roda bersaiz 18 inci dan para pelanggan boleh memilih rekaan rim itu.



Kabinnya pula dihiasi dengan skrin berukuran 9.8 inci dan paparan instrumen skrin digital 12.3 inci yang boleh disambungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay termasuk ada 13 speaker Mark Levinson.

Jika para pelanggan memilih varian FWD, ia menawarkan ruang kargo 332 liter manakala AWD berkemungkinan kecil sedirit disebabkan perkakasan tambahan yang dipasang di gandar belakang.


LBX juga dilengkapi dengan bahan penebat tambahan untuk meningkatkan tahap NVH (Bunyi, Getaran dan Kekerasan), manakala pelanggan boleh memilih rangkaian bahan upholsteri premium, daripada Ultrasuede hingga kulit.

Pengeluaran SUV kompak baharu ini akan dimulakan menjelang akhir tahun ini, dan ia akan mula dihantar ke pasaran Jepun dan Eropah selewat-lewatnya pada awal 2024.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/