- Berita
- Berita Auto
- Percubaan Bas Penghubung Kajang & Bangi Ke Putrajaya Mula 3 Julai Ini
Percubaan Bas Penghubung Kajang & Bangi Ke Putrajaya Mula 3 Julai Ini
Tidak lama lagi, penduduk di sekitar kawasan Kajang dan Bangi dapat menuju ke destinasi dengan lebih mudah! Percubaan perkhidmatan bas Laluan 451 dari Stesen MRT Kajang hingga MRT Putrajaya Sentral akan dilaksanakan selama tiga bulan bermula 3 Julai hingga 30 September 2023 nanti.
Perkhidmatan ini beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat pada waktu puncak di sebelah pagi (6:30 pagi hingga 8:00 pagi) dan waktu puncak di sebelah petang (4:30 petang hingga 6:00 petang).
Perkhidmatan bas ini akan menghubungkan Kajang dan Bangi dengan Putrajaya melalui hentian terhad di sepanjang laluan, termasuk Hentian Kajang, Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi, Kompleks Parcel E (Barat), Kompleks Parcel D, Kementerian Kewangan, Istana Kehakiman (Utara), Perbadanan Putrajaya dan Galeri PJH.
Ketua Pegawai Operasi, Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria, berkata, “Perkhidmatan percubaan ini adalah salah satu inisiatif Rapid Bus Sdn Bhd dalam menyediakan sistem rangkaian pengangkutan untuk menghubungkan lokasi-lokasi yang tidak diliputi oleh sistem pengangkutan rel. Sepanjang tempoh percubaan, kami akan mengkaji keberkesanan perkhidmatan bas sebagai penghubung jurang tersebut.
“Buat masa ini, tiada perkhidmatan pengangkutan awam lain yang menghubungkan orang ramai mahupun kakitangan kerajaan yang tinggal di Kajang dan Bangi untuk terus ke Putrajaya. Perkhidmatan percubaan ini juga adalah untuk mengenalpasti sama ada terdapat permintaan bagi laluan ini, terutamanya buat mereka yang berkerja di kawasan Putrajaya,” tambah beliau
Tambang sebanyak RM1.00 untuk perjalanan satu hala sangat berpatutan berbanding memandu kenderaan sendiri. Penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50, Kad Konsesi MyRapid dan kad Touch n' Go.
Di Stesen MRT Putrajaya Sentral, penumpang boleh meneruskan perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan bas perantara MRT atau bas Nadiputra untuk ke destinasi di kawasan Putrajaya.
Pengguna kenderaan sendiri boleh meletakkan kereta di kawasan parkir Stesen MRT Kajang atau Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi sebelum menggunakan perkhidmatan bas ini.
Untuk maklumat lanjut, penumpang boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv