- Berita
- Kereta Baru
- Perodua Termurah, Axia E, Kini Di Pasaran – 1.0 Manual, Harga Dari RM22K
Perodua Termurah, Axia E, Kini Di Pasaran – 1.0 Manual, Harga Dari RM22K
Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua) hari ini telah memperkenalkan Axia versi transmisi manual, Axia E, pada harga hanya RM22,000, atas jalan, tanpa insurans. Jangan keliru dengan Perodua Axia D74A berdasarkan platform DNGA yang dilancarkan pada awal tahun ini, Axia 'Rahmah' ini merupakan model generasi 2017 yang telah diperbaharui untuk memberikan peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki kenderaan baharu pada harga yang sangat berpatutan.
CIRI MEKANIKAL PERODUA AXIA E 1.0 MT 2023
Perodua Axia E 1.0 MT 2023 dikuasakan oleh enjin petrol 1.0L 3-silinder yang sama seperti model Axia lain, termasuk model yang baru dilancarkan.
Model ini hanya ditawarkan dalam versi transmisi manual lima kelajuan. Axia E boleh mencapai output sebanyak 67 hp/95 Nm. Sistem yang digunakan membuatkan Axia E kereta baharu dengan tahap penggunaan bahan api yang paling menjimatkan.
KELENGKAPAN PERODUA AXIA E 1.0 MT 2023
Bahagian luar Perodua Axia E 1.0 MT 2023
Secara visual, Axia E yang baharu kelihatan sama seperti model sebelumnya. Sebagai varian asas, ia hanya dilengkapkan dengan kelengkapan asas seperti rim besi, cermin sisi tanpa lampu, dan lain-lain. Selain itu, model ini dilengkapkan dengan dua beg udara dan amaran pemakaian tali pinggang keselamatan (pemandu).
APA YANG TIADA PADA PERODUA AXIA E 1.0 MT 2023?
Beberapa kelengkapan utama tidak terdapat pada model ini, seperti pemain radio, defogger dan pengilap cermin belakang, serta ABS untuk sistem brek.
Bahagian dalam Perodua Axia E 1.0 MT 2023
Walaupun tidak hadir dengan ciri ABS dan ciri keselamatan asas, Axia E berjaya memperoleh empat bintang dalam ujian perlanggaran ASEAN-NCAP, yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
WARNA PERODUA AXIA E 1.0 MT 2023
Axia E ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver dan Granite Grey.
HARGA JUALAN PERODUA AXIA E 1.0 MT 2023
Perodua Axia E 1.0 MT 2023 ditawarkan pada harga RM22,000, atas jalan, tanpa insurans. Harga ini adalah lebih murah berbanding Perodua Kancil, sewaktu dilancarkan dahulu.
Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, menjelaskan, "Berdasarkan perbincangan kami dengan institusi-institusi kewangan tempatan, kami mendapati hanya RM300 diperlukan untuk membayar kos sewa beli setiap bulan bagi memiliki Axia E. Ini adalah kos yang sama yang perlu dibayar oleh seseorang untuk membeli motosikal baharu secara sewa beli.”
Dato’ Sri Zainal juga menyatakan bahawa Perodua kini sedang mengkaji skim pemilikan lain selain daripada sewa beli, tetapi perkara ini bergantung sepenuhnya kepada sambutan pasaran terhadap Axia E dan maklum balas pelanggan.
Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad
Perodua menyasarkan untuk menjual sehingga 1,500 unit Axia 'Rahmah' setiap bulan termasuk pemilikan individu dan jualan korporat. Sehingga kini, syarikat ini telah berjaya mendaftarkan sebanyak 606,756 unit Axia sejak pertama kali model ini dilancarkan pada tahun 2014.
Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin mencuba Axia E
Jadi, apa pendapat anda mengenai Perodua Axia E 1.0 MT 2023? Adakah harga RM22,000 cukup ‘rahmah’ untuk rakyat berpendapatan rendah? Kongsikan pandangan di ruangan komen yang disediakan di bawah.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv