- Berita
- EV
- Punca 736 Kemalangan, 17 Kematian, Tesla Autopilot Tidak Selamat?

Tesla Model X
Analisis data terkini oleh Washington Post berdasarkan data yang dikeluarkan oleh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) telah mendedahkan sesuatu yang mengejutkan membabitkan teknologi Autopilot Tesla. Berdasarkan data tersebut, Tesla Autopilot telah menyebabkan sejumlah 736 kemalangan di Amerika Syarikat dengan 17 daripadanya membabitkan kematian.
Peningkatan kes kemalangan ini juga mungkin berkait dengan penghapusan teknologi radar daripada kenderaan Tesla. Pada tahun 2021, Tesla mengumumkan kebergantungan sepenuhnya kepada teknologi pemprosesan penglihatan berdasarkan kamera. Setiap kereta keluaran Tesla dilengkapkan dengan lapan biji kamera luar yang membantu memetakan (mapping) persekitaran.

Peningkatan kes kemalangan membabitkan Tesla baru-baru ini telah menyebabkan NHTSA menjalankan siasatan terhadap teknologi tersebut. Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, tetap yakin dengan kelebihan teknologi Autopilot yang diperkenalkan syarikatnya.
Data NHTSA walau bagaimanapun tidak menyediakan butiran kemalangan yang spesifik. Dalam beberapa insiden, tidak dapat dipastikan sekiranya sistem Autopilot atau Full Self-Driving (FSD) telah digunakan.
Didatangkan secara standard dalam semua kenderaan Tesla, sistem Autopilot ini merangkumi ciri kawalan pelayaran adaptif yang boleh mengesan kelajuan trafik di sekitar untuk dipadankan dengan pergerakan kereta secara automatik.
Selain itu, Tesla juga menawarkan teknologi Enhanced Autopilot yang merangkumi ciri navigasi dan penukaran laluan secara automatik. Pembeli boleh mendapatkan pakej Full Self-Driving (FSD), di mana kenderaan boleh membuat keputusan secara aktif berdasarkan sistem pengecaman papan tanda trafik.

Dengan ciri Navigate sistem Autopilot, Tesla boleh melakukan pertukaran kepada laluan lebih laju dengan sendiri (Sumber: Tesla)
Melalui laman web rasminya, Tesla memaklumkan bahawa “Autopilot, Enhanced Autopilot, dan ciri Full Self-Driving yang sedang diaktifkan memerlukan pengawasan pemandu yang aktif dan tidak menjadikan kenderaan itu autonomous.
“Ciri autonomi penuh bergantung kepada pencapaian tahap kebolehpercayaan yang melebihi pemandu manusia, berdasarkan perjalanan berbilion batu,” jelas Tesla.

Teknologi Tesla Autopilot belum lagi mencapai tahap kebolehpercayaan yang melebihi pemandu manusia (Sumber: Michael Simari via Car and Driver)
Pada Februari 2023, NHTSA mengumumkan penarikan balik 360,000 kenderaan yang dilengkapi dengan FSD beta kerana peningkatan risiko kemalangan. Walaupun terdapat laporan yang bertentangan mengenai keberkesanan Autopilot, laporan Keselamatan Kenderaan Tesla yang dikeluarkan pada suku keempat tahun 2022 menunjukkan bahawa 35 peratus kemalangan Autopilot berlaku apabila kenderaan dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain.
Selain itu, Tesla juga mendakwa hanya satu kemalangan Autopilot berlaku dalam setiap 4.8 juta batu perjalanan. Bagaimanapun, tanpa data yang terperinci daripada Tesla, perkara ini tidak dapat disahkan. Buat masa ini, data NHTSA menunjukkan sebahagian besar daripada 807 kemalangan membabitkan sistem Autopilot sejak tahun 2021 adalah melibatkan kenderaan Tesla.
Sekiranya berita ini menarik, mungkin anda juga ingin membaca artikel yang dikongsikan di bawah:
Tesla & Elon Musk Disaman Pemegang Saham Kerana Tidak Jujur
Tesla Dituduh Kelirukan Orang Ramai Dengan Iklan Ciri Autopilot Kereta Yang Salah
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv