- Berita
- Kereta Baru
- Tesla Model 3 Facelift Dilancarkan Di Malaysia – 2 Varian, 629 KM, Dari RM189K
Tesla Model 3 Facelift Dilancarkan Di Malaysia – 2 Varian, 629 KM, Dari RM189K
Tesla Malaysia hari ini secara rasminya telah melancarkan Model 3 Facelift. Model 3 Facelift ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard RWD, Long Range AWD. Harga jualan bermula daripada RM189,000.
CIRI MEKANIKAL MODEL 3 FACELIFT


Varian Standard, dikuasakan oleh motor elektrik tunggal di belakang (RWD) yang membolehkan kenderaan melakukan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.1 saat. Jarak perjalanan EV yang dinyatakan di atas kertas ialah 513 km (WLTP) - 18 km lebih tinggi berbanding angka WLTP versi sebelum ini, 495 km.


Bagi varian Long Range, dikuasakan oleh dua motor pacuan semua roda (AWD), sistem ini membolehkannya mencapai masa pecutan lebih pantas iaitu 4.4 saat. Sama seperti model Standard, Model 3 LR baru turut mendapat peningkatan jarak EV, yang menurut Tesla kini mampu mencapai jarak maksimum sebanyak 629 km (WLTP). Sebagai perbandingan, Model 3 LR pra-facelift hanya boleh pergi sejauh 614 km dengan satu cas penuh.


Seperti Model Y untuk pasaran Malaysia, Model 3 juga ditawarkan dengan pakej Enhanced Autopilot dan Full Self-Driving Capability (FSDC). Dijual pada harga RM16,000, pakej Enhanced Autopilot menambah fungsi seperti pertukaran lorong automatik, autopark dan lain-lain. Sementara itu, FSDC yang bernilai RM32,000 melengkapkan Model 3 dengan semua fungsi Enhanced Autopilot dan Basic Autopilot, ditambah dengan dua ciri yang akan ditawarkan pada masa akan datang - Traffic Light & Stop Sign Control dan autosteer di jalan bandar.
REKAAN TESLA MODEL 3 FACELIFT


Model 3 Facelift tampil lebih elegan berbanding keluaran terdahulu. Dari sudut hadapan, model ini menggunakan lampu depan jenis LED yang direka semula serta lampu DRL baharu, yang kelihatan lebih halus berbanding dahulu. Sementara itu, bampar hadapan kini lebih ‘tajam’ kerana dipanjangkan hingga ke fender sisi, membuatkannya tidak ubah seperti Roadster baharu.



Dari sudut tepi, berbanding versi sebelum ini, Model 3 Facelift lebih panjang sebanyak 26 mm, dan ketinggiannya pula dikurangkan sebanyak 2 mm kerana jarak kelegaan tanah yang lebih rendah. EV sedan terbaru ini ditawarkan dengan dua pilihan rim dalam rekaan Photon bersaiz 18 inci (standard) atau Nova bersaiz 19 inci (RM7,500). Di bahagian belakang, logo ‘T’ kini digantikan dengan tulisan Tesla dan dikelilingi oleh lampu belakang LED berbentuk C.


Model ini ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu putih Pearl White Multi White (warna standard), hitam Solid Black (RM5,000), biru Deep Blue Metallic (RM5,000), kelabu Stealth Grey (RM7,500) dan merah Ultra Red (RM11,000).
KABIN TESLA MODEL 3 FACELIFT

Bergerak ke bahagian dalam, Model 3 facelif tampil selesa dengan gabungan kemasan fabrik dan aluminium. Selain itu, model ini turut menggunakan sistem pencahayaan ambien baharu, skrin infotainmen 15.4 inci dengan bezel tepi yang lebih halus, stereng yang telah diperbaik. Ruang kabin ditawarkan dengan warna tema hitam (standard) atau gabungan hitam/putih (RM5,000).



Untuk hiburan, Model 3 Facelift lebih ‘mengasyikkan’ dengan sistem audio 17 speaker dan dua subwoofer yang baharu untuk Long Range, manakala varian Standard pula dengan sembilan speaker dan satu subwoofer.

Menurut Tesla, tahap NVH kenderaan juga telah dipertingkat dengan penggunaan kaca akustik 360 darjah dan bahan insulasi yang lebih baik. Di bahagian lain, penumpang belakang kini mempunyai panel paparan sendiri bersaiz 8 inci dengan fungsi bersepadu untuk sistem pendingin hawa dan infotainmen.
HARGA MODEL 3 FACELIFT DI MALAYSIA

Tidak termasuk pilihan aksesori atau teknologi tambahan, Model 3 dijual pada harga berikut:
- Tesla Model 3 Standard RWD – RM189,000
- Tesla Model 3 Long Range AWD – RM218,000
Pembelian adalah termasuk jaminan selama 4 tahun atau 80,000 km dengan jaminan bateri EV selama 8 tahun atau 160,000 km untuk varian Standard dan 8 tahun atau 192,000 km untuk varian Long Range. Penghantaran kumpulan pertama dijangka akan bermula pada suku akhir tahun 2023.
![]()
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv