- Berita
- Tips
- Ini Yang Anda Patut Tahu Tentang Waranti EV
Kenderaan elektrik (EV) sebenarnya menawarkan banyak kelebihan berbanding kenderaan enjin pembakaran (ICE).
Yang pastinya, kenderaan elektrik yang dijual ketika ini mengurangkan pencemaran ke atas alam sekitar.
Itu sebabnya harga kebanyakannya bukan mampu milik tapi hanya mampu tengok saja.
Lagipun, apabila membeli kereta, harga adalah faktor pertama yang perlu dipertimbangkan.
Namun mujur di Malaysia, harga kereta elektrik boleh didapati di bawah RM100,000. Misalnya seperti Neta EV yang dikatakan antara EV paling murah di Malaysia.
Apa yang anda patut syukur ialah , harga semua kenderaan elektrik baharu yang dijual secara rasmi di Malaysia adalah termasuk waranti eksklusif atau berasingan, meliputi bateri kenderaan elektrik, sistem transmisi serta komponen yang berkaitan.
Tahukah anda, bateri adalah antara alat ganti yang paling mahal untuk diganti dalam mana-mana EV.
Jadi, adalah penting bagi mana-mana pembeli untuk mengetahui jenis perlindungan waranti yang disertakan dengan harga kereta.
Secara amnya, jaminan bateri akan melindungi kerosakan atau mutu kerja dalam pembuatan bateri.
Sebahagian besar pengilang yang menawarkan EV dalam pasaran sebenarya menyediakan perlindungan antara 8 hingga 10 tahun hanya untuk bateri EV.
Ini mungkin adil memandangkan kebanyakan bateri EV dijangka bertahan sehingga sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun.
Hakikatnya, bagi mana-mana pengeluaran kereta yang dihasilkan secara besar-besaran, kerosakan atau kecacatan pada mutu kerja adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Maka, kos menggantikan bateri EV yang tidak mempunyai jaminan sebenarnya boleh mencecah dari RM30,000 hingga RM100,000.
Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini!
Sebaliknya, antara pengeluar yang memberikan jaminan meliputi bateri selama 8 tahun atau 160,000 KM ialah Hyundai Kona elektrik dan Tesla Model Y.
Tidak ketinggalan juga salah satu jenama EV yang paling laris di Malaysia pada masa ini ialah BYD.
Jenama ini pula menawarkan waranti bateri EV voltan tinggi selama 8 tahun atau 160,000 KM.
Selain itu, BYD turut menawarkan waranti 8 tahun atau 150,000 kilometer pada unit pemacu, motor dan kawalan motor elektrik.
Ada juga satu lagi jenama EV yang menawarkan pakej waranti komprehensif bateri EV selama 8 tahun atau 200,000km, iaitu smart#1.
Sejak smart#1 dibawa masuk ke pasaran tempatan, nampaknya jenama itu juga laku keras.
JENAMA MEWAH
Ada juga beberapa jenama kereta mewah yang turut menawarkan jaminan bateri yang dilihat cukup memuaskan hati.
Antaranya:
MERCEDES-BENZ
Jenama Bintang tiga bucu ini sebenarnya menawarkan waranti untuk bateri EV 10 tahun atau 250,000 km menerusi model EQS.
ROLLS-ROYCE
Sementara itu, Rolls-Royce pula yang merupakan lambang kemewahan di atas jalan raya juga menawarkan pelbagai ciri yang begitu menarik.
Terbaharu, ia membawa model Spectre versi elektrik yang dijual pada harga RM2 juta tetapi tidak termasuk cukai dan opsyen.
Seiring dengan harganya, maka tidak hairanlah mengapa jenama ini menawarkan waranti 4 tahun tanpa had perbatuan manakala waranti bateri voltan tingginya pula disertakan dengan waranti 10 tahun.
Hakikatnya menggantikan bateri EV sememangnya menelan kos yang tinggi namun sebelum itu anda perlu faham mengenai pengecualian atau syarat yang boleh menjejaskan sebarang waranti bateri EV tetapi tidak terhad kepada:
• Guna pengecasan yang tidak menepati piawaian
• Sebarang kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan atau pemasangan bahagian yang tidak diluluskan
• Guna bateri sebagai sumber kuasa dari pegun
• Tidak mengemaskini perisian
• Kerosakan atau kegagalan yang disebabkan oleh pembaikan juruteknik yang tidak bertauliah
• Gagal membaik pulih
• Tunda dengan kenderaan dan melebihi had muatan
• Pengabaian secara umum
Pendek kata, jika anda sedang mempertimbangkan untuk membeli EV pada bulan ini atau tahun depan, jangan risau tentang bateri atau komponen pemacu EV.
Ini kerana dengan adanya waranti bateri EV , anda mungkin sudah boleh menarik nafas lega kerana pakej yang ditawarkan oleh kebanyakan pengeluar EV sememangnya cukup komprehensif.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari