- Berita
- Kereta Baru
- MG4 EV Kini Rasmi Di Malaysia – Dari RM103,999, Capai 429 HP & 520 KM!
MG4 EV Kini Rasmi Di Malaysia – Dari RM103,999, Capai 429 HP & 520 KM!
Sebentar tadi, MG Motor Malaysia telah melancarkan secara rasmi hatchback MG4 EV yang ditawarkan dalam empat varian iaitu MG4 Standard, MG4 Lux, MG4 Lux Extended Range, dan varian berprestasi MG4 XPower. Model ini dijual pada harga bermula dari RM103,999.
CIRI MEKANIKAL
MG4 Standard
Varian paling rendah dalam rangkaian model ini ialah MG4 Standard. Memiliki kuasa sebanyak 170 ps (125 kW) dan 250 Nm, kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 51 kWh kepada satu e-motor yang menggerakkan sistem pacuan roda belakang (RWD) kereta. Menggunakan susunan sistem ini, MG4 Standard boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Varian ini boleh mencapai jarak EV sejauh 350 km (WLTP).
Untuk pengecasan, menggunakan input AC 7 kW, ia boleh dicas penuh (0-100%) dalam masa 8 jam. Dengan pengecas pantas DC 50 kW pula boleh dicas daripada 10-80% dalam masa 48 minit atau 37 minit dengan 150 kW.
MG4 Lux
Varian MG4 Lux diberikan bateri berkapasiti lebih tinggi, 64 kWh serta output lebih besar pada 203 ps (150 kW), namun dengan angka tork sama seperti Standard pada 250 Nm. Varian ini mengambil masa lebih panjang untuk melakukan pecutan 0-100 km/j iaitu pada 7.7 saat kerana beratnya lebih tinggi.
Kapasiti bateri yang lebih besar membolehkan MG4 Lux mencapai jarak EV yang lebih jauh pada 435 km (WLTP). Menggunakan input AC 7 KW, Lux boleh dicas daripada 0-100% dalam masa 8.5 jam, manakala input DC 50 KW dan 150 KW membolehkannya dicas daripada 10-80%, masing-masing dalam masa 52 minit dan 26 minit.
MG4 Lux Extended Range
Seterusnya, varian MG4 Lux Extended Range, hadir dengan bateri 77 kWh yang memberikan jentera tersebut output lebih tinggi pada 245 ps (180 kW) dan 350 Nm, serta masa 0-100 km/j lebih pantas, 6.1 saat.
Varian ini boleh mencapai jarak EV paling jauh iaitu 520 km (WLTP). Pengecasan menggunakan input AC 7 kW, membolehkan cas penuh (0-100%) dilakukan dalam masa 10 jam, manakala input DC 50 kW dan 150 kW membolehkan cas 10-80%, masing-masing dilakukan dalam masa 61 minit dan 38 minit.
MG4 XPower
Akhir sekali, varian berprestasi tinggi, MG4 XPower, menggunakan dua motor elektrik serta sistem pacuan semua roda (AWD) dengan output 435 ps (320 kW) dan 600 Nm, membolehkannya membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa sepantas 3.8 saat!
Namun, varian ini dilengkapkan dengan kapasiti bateri yang sama seperti pada varian Lux iaitu 64 kWh, serta tempoh pengecasan AC dan DC yang sama.
REKAAN & KELENGKAPAN MG4 EV
MG4 EV memiliki saiz yang hampir menyamai BYD Atto 3, pada ukuran 4,287 mm (panjang), 1,836 mm (lebar), 1,504 mm (tinggi) dan jarak antara roda 2,705 mm.
Kesemua varian hadir dengan kelengkapan standard seperti pencahayaan LED depan dan belakang, enam beg udara, panel instrumen digital 7 inci, skrin infotainment sentuh 10.25 inci yang boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sambungan dengan aplikasi mudah alih iSMART MG, serta pakej arahan suara "Hello MG".
Varian asas, MG4 Standard didatangkan dengan tempat duduk dalam balutan fabrik, dan rim bersaiz 17 inci, sementara MG4 Lux pula lebih mewah dengan rim bersaiz 18 inci, warna dua tona dan upholsteri kulit.
Varian Lux dan ke atas juga diberikan ciri tambahan seperti spoiler aero berkembar, sistem gril aktif, bar lampu (belakang), pad pengecas tanpa wayar, tempat duduk pemandu boleh laras 6 arah, serta sistem audio 3D 6 speaker berbanding 4 speaker pada varian lebih rendah.
Varian tertinggi, MG4 XPower, menggunakan rim 18 inci eksklusif dengan angkup brek berwarna jingga. Kelengkapan lain adalah pedal sport metalik, fungsi kawalan pelancaran built-in, dan upholsteri Alcantara berwarna hitam.
CIRI KESELAMATAN MG4 EV
Semua varian didatangkan standard dengan pakej bantuan pemandu aktif MG Pilot yang merangkumi amaran dan mitigasi pelanggaran hadapan (FCW & AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC), amaran keluar lorong dan bantuan kekal lorong (LDW & LKA), serta bantuan kesesakan trafik (TJA).
Sementara itu, varian lebih tinggi, bermula daripada MG4 Lux diberikan ciri keselamatan tambahan iaitu pemantau titik buta (BSD), bantuan tukar lorong (LCA), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pembukaan pintu (DOW) dan pakej kamera 360 darjah.
HARGA, WARANTI & PROMOSI YANG DITAWARKAN
Varian asas, MG4 Standard dijual pada harga RM103,999, MG4 Lux pada harga RM128,999, MG4 Lux Extended Range pada harga RM148,999 dan akhir sekali, varian berprestasi, MG4 XPower pada harga RM158,999. Pembelian adalah termasuk waranti kenderaan selama 7 tahun atau 150,000 km, dengan waranti berasingan untuk bateri selama 8 tahun atau 180,000 km. Selain itu, pembeli juga boleh membuat penukaran kepada bateri baharu 1-to-1 sekiranya tahap kesihatan bateri rendah daripada 70% dalam tempoh waranti.
Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 30 April 2024 akan menerima secara PERCUMA:
-Pengecas WallBox 7 kW (MG4 Standard)
-Pengecas WallBox 11kW (MG4 Lux)
-Kredit pengecasan EV bernilai RM1000 DC Handal & JomCharge (MG4 Lux Extended Range & XPOWER)
Gallery

























Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv