- Berita
- Kereta Baru
- GAC GS3 EMZOOM Kini Rasmi Di Malaysia – Dari RM118K
WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), telah secara rasminya melancarkan SUV kompak, GAC GS3 EMZOOM. Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Exclusive dan Premium-R dengan harga jualan bermula daripada RM118,900.
CIRI MEKANIKAL GAC GS3 EMZOOM
GAC GS3 EMZOOM dikuasakan oleh enjin yang berkuasa dan efisien, 1.5 liter turbo berpengecas turbo berkuasa 175 hp pada 5,500 rpm dan tork 270 Nm pada 1,400 rpm. Model ini mampu mencapai 0-100 km/j dalam masa hanya 8.0 saat. Kadar penggunaan bahan apinya ialah 5.9 liter/100 km.
Dibangunkan berdasarkan platform GPMA yang terkini, model ini berukuran 4,410 mm panjang, 1,850 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,650 mm.
REKA BENTUK LUARAN GAC GS3 EMZOOM
Dari segi rekaan, GAC GS3 EMZOOM diberikan beberapa elemen futuristik seperti gril Mecha Wing, lampu hadapan jenis LED Laser Eye Split dan lampu belakang Light Dart. Sementara itu, spoiler belakangnya menyerlahkan ciri agresif kereta. Bahagian lain yang menarik adalah penggunaan pemegang pintu jenis terbenam seperti yang biasa kita lihat pada kenderaan elektrik (EV). Turut ditawarkan ialah R-Style Sport Package dan R-Style Sport Exhaust.
KABIN GAC GS3 EMZOOM
Ruang kabinnya terasa agak luas, menjanjikan keselesaan untuk semua penumpang. Kemasan dua warna yang sedap dipandang iaitu gabungan biru dan hitam untuk menaikkan aura kabin. Salah satu ciri menarik yang dapat dilihat ialah tombol gear kristal yang sofistikated.
Antara kelengkapan standard yang disediakan ialah infotainmen skrin sentuh bersaiz 10.25 inci dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay, sistem kamera keliling, pendingin hawa automatik serta penghidup enjin jarak jauh. Varian lebih tinggi, Premium R, diberikan ciri tambahan port pengecas USB-C, pengecas tanpa wayar serta pencahayaan ambien.
CIRI KESELAMATAN GAC GS3 EMZOOM
GAC GS3 EMZOOM dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan standard iaitu dwi udara hadapan, dwi beg udara sisi, pandangan titik buta (BSV), cangkuk ISOFIX tempat duduk kanak-kanak, sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), prohgram kestabilan elektronik (ESP), bantuan kekal bukit dan brek parkir elektronik dengan ciri autohold.
Sistem ADAS adalah termasuk:
- Kawalan jelajah adaptif (ACC)
- Brek kecemasan automatik (AEB)
- Amaran pelanggaran hadapan (FCW)
- Sistem pengenalpastian tanda trafik (TSR)
- Amaran keluar lorong (LDW)
- Kawalan had kelajuan pintar (ISLC)
Varian Premium R diberikan ciri tambahan bantuan lampu suluh tinggi (HMA) dan bantuan parkir automatik fusion (FAPA). Ciri lain yang hanya ditawarkan pada varian ini ialah beg udara tingkap dan kawalan turun bukit.
HARGA JUALAN GAC GS3 EMZOOM
GAC GS3 EMZOOM akan ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu putih Ivory White, perak Starlight Silver, biru Lake Blue dan kelabu Graphene Grey dengan harga jualan RM118,900 untuk varian Exclusive, dan RM 128,900 untuk varian Premium R.
WTCA menawarkan Pakej Pelancaran Istimewa untuk 2000 pelanggan terawal yang termasuk:
- Servis berjadual percuma sebanyak tiga kali termasuk upah, alat ganti dan minyak pelincir.
- Waranti enjin dan trenkuasa selama 7 tahun atau 180,000 km (untuk pendaftar kenderaan yang pertama) sebagai tambahan kepada waranti standard 5 tahun atau 150,000 km.
- Pelanggan terawal juga akan menerima GAC Smart Watch Key.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv