- Berita
- EV
- Neta X Akan Dipamerkan di Malaysia Autoshow 2024 – 500KM Sekali Cas, Anggaran dari RM125K
Neta X Akan Dipamerkan di Malaysia Autoshow 2024 – 500KM Sekali Cas, Anggaran dari RM125K
Neta X bakal membuat kemunculan pertamanya di Malaysia semasa pameran Malaysia Autoshow 2024 bulan ini.
Neta Malaysia mengesahkan bahawa model baharu, Neta X bakal membuat kemunculan sulungnya di negara ini semasa Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024). Neta X dan juga Neta Aya (nama baharu bagi Neta V yang telah diberikan banyak penambahbaikan) akan dilancarkan secara rasmi tahun ini di Malaysia.
Perkara tersebut diumumkan semasa lawatan CariCarz.com ke kilang Neta, NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) pada hujung bulan lalu dan disahkan semasa Auto China 2024 apabila pengedar rasmi Neta di Malaysia, Intro Synergy Sdn Bhd, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Neta Auto China.
Reka bentuk luaran Neta X.
Menurut sumber kami di Neta Malaysia, model pemanduan sebelah kanan (RHD) Neta X sudah pun berada di Malaysia dan kini sedang dipersiapkan untuk pameran MAS 2024 yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.
Untuk pasaran Malaysia, dua varian Neta X akan ditawarkan iaitu Neta X 400 dan 500, yang mana angka tersebut mewakili jarak perjalanan elekrik kenderaan berdasarkan piawaian CLTC, bukan piawaian WLTP yang mungkin lebih realistik.
Kabin Neta X.
Kedua-dua Neta X 400 dan 500 dibangunkan di atas platform Yunhe, dengan panjang 4,619 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,628 mm serta jarak roda sepanjang 2,770 mm. Pesaingnya, BYD Atto 3 pula memiliki dimensi 4,455 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,615 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm. Ini jelas menunjukkan bahawa saiz kedua-dua model ini hampir sama, namun Neta X menawarkan ruang kabin yang lebih luas kerana jarak rodanya lebih panjang.
Kedua-dua varian Neta X menggunakan motor elektrik yang dipasang di depan, dengan output 161 hp dan 210 Nm. Varian 400, dikuasakan oleh bateri 51.8 kWj dan 500 pula dengan bateri 62 kWj. Untuk makluman, BYD Atto 3 menghamburkan kuasa setinggi 201 hp dan 310 Nm, tetapi kini menggunakan bateri yang lebih kecil, iaitu 49.9 kWj yang memberikannya jarak EV 410 km (CLTC) dengan satu cas penuh.
Kabin Neta X.
Menurut Neta Malaysia, Neta X 400 akan dijual pada harga sekitar RM125,000, manakala Neta X 500 pula kurang daripada RM140,000. Ini bermakna, Neta X lebih murah berbanding BYD Atto 3 terbaru yang hanya ditawarkan dalam satu varian, Standard Range, dengan harga jualan RM149,800.
Tempahan awal untuk Neta X akan dibuka mulai esok, 6 Mei ini dengan unit kumpulan terawal diimport sepenuhnya (CBU). Penghantaran unit yang dipasang di dalam negara (CKD) akan dimulakan pada suku keempat 2025.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv