- Berita
- EV
- Pengecasan Berjenama Proton e.MAS Kini Di Seluruh Negara

PRO-NET secara rasmi telah menjalinkan kerjasama bersama pengendali pengecasan (CPO) terkemuka tanah air iaitu DC Handal, JomCharge, dan chargEV.
Inisiatif ini bertujuan memperkenal dan memperluaskan rangkaian stesen pengecasan berjenama Proton e.MAS di seluruh negara.
Melalui langkah ini, jenama EV No. 1 Malaysia tersebut berhasrat memantapkan ekosistem pengecasan tempatan demi keselesaan pengguna yang kian meningkat.

Pelaksanaan Stesen Pengecasan Berjenama e.MAS Bermula Q3 2026
Pelancaran stesen pengecasan berjenama e.MAS ini dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026.
Fasa awal penumpuan akan diberikan kepada kawasan awam strategik yang mempunyai kadar kunjungan tinggi sebelum diperluaskan ke seluruh Malaysia.
Langkah ini memastikan pemilik kenderaan elektrik dapat mengakses kemudahan pengecasan dengan lebih pantas dan mudah semasa menjalankan aktiviti harian.
Kadar Pengecasan Istimewa Melalui Aplikasi Proton e.MAS

Di stesen pengecasan yang terlibat, pemilik e.MAS yang membuat bayaran melalui aplikasi Proton e.MAS turut dapat menikmati kadar pengecasan istimewa, memberikan nilai yang lebih baik ketika mengecas kenderaan mereka.
Lebih 4,700 titik pengecasan yang meliputi lebih 90% kawasan di Malaysia kini boleh diakses melalui aplikasi Proton e.MAS, dilengkapi dengan Peta Pengecasan Langsung yang tersedia dalam kenderaan e.MAS.
Kerjasama strategik bersama CPO utama ini merupakan langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem Proton e.MAS serta membawa pengalaman pengecasan jenama ini ke lebih banyak lokasi awam.
Komitmen Menyokong Agenda Ekosistem EV Negara

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Encik Zhang Qiang berkata, melalui kerjasama dengan CPO utama, pihaknya mahu menjadikan pengecasan lebih mudah dan memberikan lebih banyak manfaat kepada pemilik e.MAS, khususnya apabila mereka mengecas di lokasi-lokasi utama.
"Kerjasama ini menguatkan kekuatan PRO-NET, rakan pengecasan kami dan ekosistem digital e.MAS untuk memberikan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan, sambil menyokong pertumbuhan penggunaan EV di Malaysia,” katanya.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
