- Berita
- Global
- Volkswagen Golf R Mk 8.5 Diperkenalkan, Ada Versi Khas, Black Edition
Volkswagen Golf R Mk 8.5 Diperkenalkan, Ada Versi Khas, Black Edition
Sebelum riwayat Volkswagen Golf generasi kelapan (Mk 8) ditamatkan, syarikat automotif Jerman ini telah memperkenalkan Golf R berdasarkan versi facelift (Mk 8.5) yang kini didatangkan dengan enjin turbo dengan kuasa lebih tinggi, varian wagon dan edisi isitimewa, Black Edition.
Trenkuasa & Prestasi yang Lebih Mantap
Volkswagen Mk 8.5 kini menggunakan enjin petrol berpengecas turbo 2.0 liter yang menghasilkan 328 hp dan 420 Nm, berbanding 316 hp sebelum ini.
Dipadankan dengan sistem transmisi DCT tujuh kelajuan dan sistem AWD 4MOTION, kereta ini mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam 4.6 saat dan kelajuan maksimum 250 km/j, lebih pantas daripada 4.7 saat pada versi terdahulu.
Reka Bentuk Luar yang Lebih Agresif
Seperti model Golf standard, Golf R Mk 8.5 menerima sentuhan reka bentuk facelift yang sama. Ia kini menampilkan wajah depan yang lebih agresif dengan reka bentuk bampar baharu dengan aksen hitam berkilat serta logo VW yang bercahaya. Wajah agresif ini dilengkapi dengan skirt sisi yang sporty, perumah cermin sisi krom matte. Sudut belakang juga agresif dan sporty dengan empat paip ekzos dan diffuser hitam berkilat.
Golf R baharu hadir dengan rim standard berukuran 18 inci, tetapi pelanggan boleh memilih rim aloi Warmenau 19 inci yang lebih sporty dan ringan. Setiap rim 19 inci ini hanya 8 kg, 20% lebih ringan daripada rim 18 inci standard. Reka bentuk multi-jejari terbuka rim juga membantu meningkatkan aliran udara untuk penyejukan brek yang lebih baik.
Selain rim Warmenau, Golf R facelift juga hadir dengan komponen pilihan lain, termasuk sistem ekzos titanium Akrapovic yang sama digunakan pada Golf R 333 edisi khas, lampu utama LED IQ.LIGHT yang dipertingkatkan dan lampu belakang LED 3D baharu.
Kabin yang Sporty
Dalam kabin, Golf R Mk 8.5 menggunakan skrin infotainmen 12.9 inci dengan sistem bantuan suara ChatGPT, kluster instrumen digital 10.2 inci dengan grafik khas R dan sistem pencahayaan ambien 30 warna.
Ciri sporty R dapat dilihat daripada kehadiran logo R pada tempat duduk hadapan, penggunaan aksen biru pada beberapa bahagian kabin, pedal sport jenis keluli tahan karat dan kemasan karbon faux.
Black Edition Lebih Sporty
Mungkin ada sesetengah pengguna yang inginkan ciri sporty yang lebih ekstrem, untuk itu, Volkswagen turut memperkenalkan versi khas, Black Edition.
Seperti namanya, pelbagai bahagian pada Golf R Black Edition ini ‘dicurahkan’ dengan warna gelap/hitam seperti pada bahagian logo, emblem, rim, kaliper brek serta hujung ekzos. Lampu hadapan juga diberikan tinted gelap.
Di samping itu, Golf R Edisi Hitam juga hadir dengan Performance Package secara standard, yang memberikan kereta fungsi tambahan seperti paparan meter G dan GPS lap timer pada skrin infotainmen. Dari segi prestasi, kelajuan maksimumnya ditingkatkan kepada 270 km/j.
Pasaran
Volkswagen Golf R Mk 8.5 dijangka memasuki pasaran Eropah bulan ini, diikuti oleh pasaran antarabangsa lain pada awal tahun depan. Di Malaysia, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini melancarkan Golf R Mk8 pra-facelift yang dipasang di Pekan, Pahang. Model facelift ini mungkin mengambil masa beberapa tahun sebelum tiba ke pasaran Malaysia.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv