- Berita
- Kereta Baru
- Ini Dia Pesaing Tesla Model Y, SUV Xpeng G6, Ada 2 Varian - Harga Bermula Dari RM167K
Ini Dia Pesaing Tesla Model Y, SUV Xpeng G6, Ada 2 Varian - Harga Bermula Dari RM167K
Bermaz Auto yang merupakan pengedar rasmi kenderaan elektrik jenama Xpeng melancarkan secara rasminya, SUV Xpeng G6 ke pasaran tempatan, sebentar tadi.
Xpeng didatangkan dalam dua varian Xpeng G6 580 Pro berharga RM165,820 manakala Xpeng G6 755 Pro pula dijual pada harga RM185,820.
Kedua-duanya menggunakan pacuan roda-belakang dimana Xpeng G6 580 Pro disumbat dengan bateri berkapasiti 66kWj yang mampu memberikannya jarak gerak 435 kilometer.
Varian Xpeng G6 580 Pro dikatakan mampu menghamburkan kuasa setakat 255 hp dan tork 440 Nm dimana ia mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam hanya dalam 6.6 saat.
Sementara itu, kelajuan maksimumnya adalah 200 km/j.
Varian Xpeng G6 755 Pro
Bagi Xpeng G6 755 Pro pula, menerima bateri nickel manganese cobalt (NMC) 87.5 kWj, membolehkannya bergerak hingga 570 km dengan hanya sekali cas.
Varian ini pula mampu menghasilkan kuasa setakat 282 hp dan tork 440Nm. Ia mampu memecut dari 0-100km/j hanya dalam 6.2 saat manakala kelajuan maksimumnya juga sama dengan G6 580.
Dari segi dimensi ia memiliki panjang 4,753mm, selebar 1,920mm, setinggi 1,650mm manakala jarak roda pula 2,890mm.
Jarak kelegaan tanahnya pula ialah sekitar 160mm.
Ruang barangan di belakang yang disediakan adalah 571 liter dan boleh pergi sehingga 1,374 liter apabila tempat duduk di belakang dilipat rata.
Menyentuh mengenai ciri-ciri keselamatan jentera ini, ia cukup sarat dengan pelbagai ciri keselamatan.
Apa tidaknya ia yang dibangunkan dengan platform SEPA2.0 dengan binaan 800-voltan dilengkapi dengan 7 beg udara, sistem kunci keselamatan kanak-kanak, sistem bantuan pemandu XPILOT 2.5 (ADAS), Kamera HD 360˚ yang dikuasakan oleh cipset Nvidia Orin-X, Kokpit Pintar dengan Xmart OS 5.0 dikuasakan oleh chipset Qualcomm Snapdragon SA8155P.
Menjengah bahagian kabinnya, ia dipasang dengan skrin Infotainmen 14.96 inci yang boleh disamabungkan dengan Apple CarPlay & Android Auto, ada kluster Digital bersaiz 10.2”, Kemas Kini OTA Berkala dan 18 pembesar suara 960W XOpera.
Difahamkan, SUV Xpeng ini juga didatangkan dengan aplikasi mudah alih XPENG dimana anda boleh menyemak status kenderaan, buka kunci pintu, boleh memantau tekanan tayar, ada kawalan penyaman udara, Bantuan Letak Kereta Auto Dipertingkat (EAP 2.0), Bantuan Tempat Letak Kereta Keluar Auto (AEP) dan banyak lagi.
Bagi yang berminat, ia didatangkan dalam lima pilihan warna: Midnight Black, Silver Frost, Artic White, Graphite Gray dan Fiery Orange.
Warna untuk kemasan dalamannya pula didatangkan dalam warna hitam dan kelabu.
Tidak ketinggalan, Bermaz Auto juga menawarkan waranti selama 5 tahun atau pun sehingga had perbatuan 200,000 kilometer manakala waranti untuk bateri dan motornya pula, adalah had perbatuan 160,000 kilometer.
Apa yang cukup menarik dengan menambahkan wang sebanyak RM4,300, pelanggan boleh mendapatkan pengecas wallbox fasa tinggan 7 kW.
Harga itu termasuk upah pemasangan. Malah, terdapat juga pilihan untuk pengecas tiga-fasa berkapasiti 11 kW dengan kos tambahan RM5,000.
Di sebalik ketibaan Xpeng G6 di pasaran kita, ia adalah saingan utama model Tesla Model Y.
Mampukah Xpeng G6 menwaskan Model Y?
Kongsikan pendapat anda di bawah ruangan ini!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/