- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Peugeot 3008 & 5008: Serupa Tapi Tidak Sama
Baru-baru ini CariCarz diberi peluang untuk pandu uji dua model kereta keluaran Perancis, Peugeot, iaitu SUV lima tempat duduk 3008 dan SUV tujuh tempat duduk, 5008. Ini pandangan kami tentang kedua-dua model yang telah diberikan nafas baharu pada tahun 2021.
PANDANGAN PERTAMA PEUGEOT 3008 & 5008
Dari sudut hadapan, Peugeot 3008 dan 5008 kelihatan sama
Diedarkan oleh Bermaz Bermaz Auto Alliance (BAuto) untuk pasaran Malaysia, SUV Perancis yang dipasang secara CKD di Gurun, Kedah ini tampil dengan pelbagai elemen luaran yang menarik perhatian. Gril hadapan kedua-dua model ini pada pendapat kami agak unik jika dibandingkan dengan kebanyakan model lain dalam segmen sama. Gril ini diapit oleh lampu depan LED bersama lampu nyalaan siang (DRL) yang menegak.
Kedua-duanya menggunakan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci yang menyempurnakan lagi gaya luaran SUV yang berwarna coklat atau Cuprite Brown dan kelabu atau Amazonite Grey ini.
Sama tapi tidak serupa, 5008 sebenarnya lebih tinggi dan lebar
Jika dilihat dari sudut hadapan, 3008 dan 5008 tidak kelihatan begitu berbeza, namun sebenarnya 5008 adalah 5 mm lebih lebar dan 27 mm lebih tinggi berbanding 3008.
Elemen yang sama pada kedua-dua SUV
Dari bahagian belakang, perbezaan kedua-dua model ini lebih terserlah yang mana 3008 diberikan gaya lebih sporty berbanding 5008 yang lebih menjurus kepada bentuk petak. Namun reka bentuk lampu belakang kedua-duanya sama, berbentuk seperti tiga garis ‘cakaran’ singa Peugeot.
RUANG KABIN PEUGEOT 3008 & 5008
Bergerak ke bahagian dalam, 3008 dan 5008 umpama kembar yang mana Peugeot mengetengahkan konsep rekaan i-Cockpit. Ciri utama di bahagian ini ialah rekaan tuil gear yang diambil daripada kokpit kapal terbang, instrumen interaktif dan infotainmen digital, bumbung suria yang luas, pencahayaan ambien dan juga bentuk sterengnya yang unik.
Stereng kompak yang menjadi sebahagian daripada gaya signature i-Cockpit pada awalnya agak kekok untuk digunakan
Ciri lain yang merupakan sebahagian daripada gaya signature i-Cockpit: Rekaan tuil gear, butang kawalan sistem infotainmen, kemasan fabrik, kluster instrumen interaktif
Paparan pada sistem infotainmen: Kawalan pendingin hawa dan sambungan Apple CarPlay (turut boleh disambungkan dengan Android Auto)
Turut mencuri perhatian ialah penggunaan fabrik sebagai kemasan pada sebahagian pintu dan papan pemuka kereta. Turut menguasai segenap ruang kokpit ialah warna hitam berkilat dan aksen aluminium. Secara keseluruhannya, sentuhan yang diberikan memberikan SUV ini aura mewah dan sofistikated.
Walaupun hadir dengan reka bentuk dalaman yang sama, sekiranya saiz yang luas menjadi keutamaan, 5008 adalah pilihan yang tepat. Terutama sekali apabila tempat duduk barisan ketiga dilipat, ini memberikan ruang simpanan atau but tambahan sehingga 952L dan menjadikan kapasiti simpanan keseluruhannya 2,150L! Kalau suka bershopping atau bercuti, ini satu kelebihan yang penting.
5008 menawarkan kapasiti but yang lebih besar
Pencahayaan yang memukau
Sementara itu, 3008 pula menawarkan ruang but berkapasiti 591L dengan tempat duduk barisan kedua masih menegak. Ini juga sebenarnya cukup luas bukan? Lebih memudahkan, but belakang kedua-duanya boleh dibuka secara automatik.
Bumbung suria yang luas
SUV tujuh tempat duduk, 5008, sesuai untuk mereka yang berkeluarga. Namun, tempat duduk barisan ketiga model ini tidak sesuai untuk dewasa
Dari segi keselesaan, 5008 lebih fleksibel yang mana tempat duduk barisan keduanya boleh ditumbangkan dan digerakkan ke depan atau belakang, pendingin hawa untuk penumpang belakang juga boleh dikawal secara berasingan dengan penumpang depan. Kedua-dua ciri ini walau bagaimanapun tidak ditawarkan pada 3008.
KUALITI PEMANDUAN PEUGEOT 3008 & 5008
Kedua-dua 3008 dan 5008 menggunakan enjin yang sama iaitu enjin turbo 4 silinder THP 1.6L dengan output 165 hp/240 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda hadapan melalui transmisi automatik 6 kelajuan.
Kedua-duanya dijana oleh enjin yang sama
Bukanlah yang terpantas dalam segmennya, tetapi kuasanya masih mampu menandingi banyak pesaing lain. Sebagai sebuah kenderaan keluaran Eropah, kualiti pemanduan dan pengendaliannya tidak mengecewakan. Penggunaan gabungan sistem suspensi topang MacPherson dan torsion membuatkan kereta terasa cukup stabil dan seimbang walaupun di selekoh. Respons stereng SUV ini juga boleh dipuji.
Kadar serapan NVH atau bunyi, gegaran dan kekasaran kereta cukup baik, memberikan keselesaan yang optimum kepada semua penumpang depan dan belakang.
Dari segi penggunaan bahan api, berdasarkan ujian dalaman syarikat, Peugeot 3008 dan 5008 dikatakan memiliki purata penggunaan bahan api sekitar 7L bagi setiap 100 km, namun dalam sesi pandu uji yang kami lakukan, kadar penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah lebih baik iaitu serendah 6.7L bagi setiap 100 km untuk 3008.
Dalam erti kata lain, tidak mustahil untuk mencapai jarak perjalanan sehingga 600 km dengan minyak penuh, dengan syarat kereta menerima servis yang sepatutnya pada waktu yang ditetapkan.
TEKNOLOGI KESELAMATAN PEUGEOT 3008 & 5008
SUV Perancis ini didatangkan dengan pelbagai teknologi keselamatan terkini seperti kamera pandangan belakang 180 darjah, bantuan kekal lorong aktif, amaran tumpuan pemandu, pengecaman had kelajuan, pemantau titik buta, kawalan cengkaman termaju (Normal, Snow, Mud, Sand dan ESP off) serta kawalan cerun bantu bukit. Selain itu, ia turut dilengkapi ciri keselamatan asas lain seperti:
Enam beg udara
Sistem brek anti-kunci (ABS)
Program kestabilan elektronik (ESP)
Agihan brek elektronik (EBD)
Bantuan brek kecemasan (EBA)
Kawalan kestabilan dinamik (DSC)
Pengawalan anti gelinciran (ASR)
Bantuan mula-daki
Namun begitu, 3008 dan 5008 tidak hadir dengan beberapa ciri keselamatan seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan brek kecemasan autonomi (AEB).
Pada pendapat kami, ciri keselamatan yang disediakan boleh ditambah baik lagi dengan beberapa ciri penting lain agar terasa lebih berbaloi dengan harga yang ditawarkan.
PEUGEOT 3008 & 5008: BERBALOIKAH UNTUK DIMILIKI?
Peugeot 3008 and 5008 yang masing-masing dijual pada harga RM170,288 dan RM186,288 menjadikannya pesaing terdekat bagi model-model lain seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan VW Tiguan Allspace. Jika dibandingkan dengan kesemua model yang dinyatakan, banyak ciri yang menjadikan Peugeot lebih menonjol, mungkin ada yang tertarik dengan reka bentuk luarannya, ruang kabin yang terasa mewah, keluasan 5008, dan sebagainya seperti yang kami jelaskan sebentar tadi.
Tidak cukup dengan itu, seperti yang dijanjikan pengedarnya, BAuto, pengalaman pemilikan SUV Perancis ini yang tidak terlalu 'kejam' kepada poket juga boleh dijadikan sebab kukuh untuk anda tidak ragu memilih Peugeot.
Untuk makluman, pembelian didatangkan dengan perlindungan selama 5 tahun/100,000 km daripada pengilang dan servis penyelenggaraan pecuma selama 5 tahun/60,000 km, yang mana terlebih dahulu.
Bagaimana? Adakah Peugeot 3008 dan 5008 berjaya mencuri hati anda? Sekiranya ya, mana satukah yang menjadi pilihan? 3008 atau 5008 dan mengapa? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.
SPESIFIKASI PEUGEOT 3008 & 5008
PEUGEOT 3008 | PEUGEOT 5008 | |
ENJIN | Petrol 4 silinder berpengecas turbo 1.6L | Petrol 4 silinder berpengecas turbo 1.6L |
TRANSMISI | Automatik 6 kelajuan, pacuan roda hadapan (FWD) | Automatik 6 kelajuan, pacuan roda hadapan (FWD) |
KUASA | 165 hp @ 6,500 rpm | 165 hp @ 6,500 rpm |
TORK | 240 Nm @ 1,400 rpm | 240 Nm @ 1,400 rpm |
0-100 KM/J | 8.9 saat | 8.9 saat |
KELAJUAN TERTINGGI | 205 km/j | 205 km/j |
KADAR PENGGUNAAN BAHAN API | 7L/100 km | 7L/100 km |
BERAT | 1,492 KG | 1,595 KG |
HARGA | RM170,288 | RM170,288 |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv