- Berita
- EV
- Geely Geome Xingyuan Didedahkan Di China – Mungkin Proton e.MAS Yang Akan Datang?
Geely Geome Xingyuan Didedahkan Di China – Mungkin Proton e.MAS Yang Akan Datang?
Gergasi automotif China, Geely, baru-baru ini mendedahkan imej rasmi model hatchback elektrik terbarunya di China, yang dikenali sebagai Geely Geome Xingyuan. Hatchback kompak elektrik ini dijangka akan memasuki pasaran China pada akhir tahun ini dan bakal menjadi pesaing kepada hatchback elektrik lain seperti BYD Dolphin dan MG4.
Jenama Geome
Bagi yang tidak biasa, jenama Geome sebenarnya adalah kesinambungan kepada sub-jenama EV Geely yang sebelum ini dikenali sebagai Geometry. Disebabkan jualan yang kurang memberangsangkan, konglomerat automotif ini memutuskan untuk membuat penjenamaan semula sebagai satu siri produk di bawah jenama Geely.
Reka Bentuk Luaran Geome Xingyuan
Dari segi dimensi, Geome Xingyuan berukuran 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan mempunyai jarak roda sepanjang 2,650 mm, menjadikannya 10 mm lebih panjang dan 35 mm lebih lebar daripada BYD Dolphin.
Berdasarkan imej rasmi yang didedahkan, Geome Xingyuan hadir dengan gaya badan hatchback lima pintu yang ‘bulat.’ Di bahagian hadapan, Xingyuan menggunakan lampu LED berbentuk seperti titisan air mata. Gril hadapannya pula diberikan sentuhan minimal untuk imej bersih yang menyerlahkan gaya modennya. Satu-satunya ciri menonjol yang dapat dilihat adalah pada apron bawah yang menempatkan komponen ambilan udara.
Dari sisi, beberapa ciri reka bentuk EV jelas terserlah, seperti pemegang pintu yang terbenam, garis bumbung hatchback yang rata dan rendah ke arah belakang, serta rim empat jejari yang tertutup. Kesemua ciri ini menyumbang kepada prestasi aerodinamik yang lebih baik.
Seperti mana di bahagian hadapan, lampu belakang juga direka seperti bentuk titisan air mata. Lampu ini mengapit tulisan Geome. Turut dapat dilihat dari sudut ini ialah underbody cladding jenis plastik seperti yang biasa terdapat pada SUV EV.
Kabin Geome Xingyuan
Di dalam kabin, Geome Xingyuan sarat dengan teknologi. Ruang kabinnya tampil unik dengan pencahayaan bercorak siluet bandar pada papan pemuka dan panel pintu hadapan. Skrin infotainmen diletakkan terapung di bahagian tengah. Skrin ini dikuasakan oleh sistem operasi Flyme Auto milik Geely. Kelengkapan lain ialah kluster instrumen digital kecil, pad pengecasan tanpa wayar dan banyak lagi.
Trenkuasa Geome Xingyuan
Untuk trenkuasanya, CarNewsChina melaporkan bahawa Geome Xingyuan akan didatangkan dengan dua spesifikasi motor, yang mana spesifikasi asas memiliki output 78 hp (58 kW) dan kelajuan maksimum 125 km/j. Sementara itu, varian dengan spesifikasi lebih tinggi akan menggunakan motor yang lebih berkuasa dengan output 114 hp (85 kW) dan kelajuan maksimum 135 km/j.
Dari segi bateri, varian asas Xingyuan dilengkapi dengan pek bateri LFP 30.12 kWj yang dibekalkan oleh CATL. Dengan cas penuh, ia boleh mencapai jarak perjalanan sehingga 310 km (CLTC).
Sementara itu, varian dengan spesfikasi lebih tinggi pula akan dikuasakan bateri LFP 40.16 kWj CATL, yang menjanjikan jarak perjalanan sehingga 410 km (CLTC).
Pelancaran Geome Xingyuan di Pasaran China & Antarabangsa
Geely Geome Xingyuan dijangka akan dilancarkan di pasaran China pada hujung tahun ini dengan harga jualan sekitar CNY 80,000 (~RM49,062), menjadikannya salah satu EV hatch yang paling mampu milik di pasaran China.
Setakat ini, Geely belum mengesahkan ketersediaan Xingyuan di pasaran antarabangsa lain. Walau bagaimanapun, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa hatch ini mungkin menjadi model kedua yang dilancarkan di bawah jenama Proton e.MAS, mengikuti jejak Geely Galaxy E5 (Proton e.MAS 7).
Baca: Hari Kebangsaan: Lebih 10,000 Pengunjung Teruja Lihat Proton e.MAS 7
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv