- Berita
- Kereta Baru
- Operasi Unit Pertama CKD GWM Haval H6 HEV Sudah "ON", Bakal Dilancar Okt Ini
Operasi Unit Pertama CKD GWM Haval H6 HEV Sudah "ON", Bakal Dilancar Okt Ini
Great Wall Motor (GWM) Malaysia mengesahkan bahawa unit ‘Complete Knock-Down’ (CKD) pertama GWM Haval H6 HEV sudah pun dihasilkan di kilang EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang terletak di Melaka, baru-baru ini.
Menerusi pengeluaran itu, GWM Haval H6 HEV akan memulakan penghantaran selepas pelancaran rasminya pada Oktober ini.
Difahamkan, GWM Haval H6 HEV adalah model keempat yang akan dilancarkan oleh GWM Malaysia selepas Ora Good Cat, , Ora 07 dan GWM TANK 300.
Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi berkata, pihaknya cukup komited untuk menghasilkan kenderaan yang berkualiti tinggi dan menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar.
"Melalui proses pemeriksaan yang komprehensif, kami dapat memastikan setiap unit GWM Haval H6 HEV yang dihasilkan memenuhi piawaian ketat dalam aspek kualiti dan kebolehpercayaan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Dalam fasa awal pengeluaran di kilang CKD terbabit, GWM Malaysia menyasarkan kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 unit setiap tahun.
Melangkah ke fasa kedua pula, GWM Malaysia meletakkan bermatlamat untuk mencapai sasaran sehingga 300,000 unit.
Bagaimanapun, buat masa ini GWM Malaysia masih belum mendedahkan tarikh pelancaran sebenar walaupun pasukan media sudah pun melakukan pandu uji ringkas baru-baru ini.
Untuk makluman, Haval H6 disumbat dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dan motor hibrid berkadar 130 kW sekali gus membolehkan ia menghasilkan kuasa setinggi 240 hp dan tork 530 Nm.
Ia diposisikan sebagai SUV segmen C dan dari segi dimensi, Haval H6 berukuran 4,683 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,724 mm tinggi dengan jarak roda berkepanjangan 2,738 mm.
Ini bermakna ia lebih besar berbanding model dalam segmen sama yang lain seperti Proton X70 dan Honda CR-V.
Selain itu, dengan reka bentuk yang mengutamakan keperluan seisi keluarga, GWM HAVAL H6 HEV menawarkan ciri-ciri ruang kaki di bahagian belakang yang luas dan but berkapasiti besar, sesuai untuk perjalanan jarak jauh.
Haval H6 juga dilengkapi tempat duduk berventilasi kepada pemandu dan penumpang hadapan, untuk keselesaan yang maksimum.
Bukan itu sahaja, jentera ini turut dilengkapi dengan ‘Advanced Driver Assistance System’ (ADAS) L2 yang sebenanrya meningkatkan mutu keselamatan, dan menawarkan pengalaman pemanduan yang sebenarnya cukup ideal untuk pemanduan keluarga pada masa ini.
Apa yang cukup menarik ialah, Haval H6 HEV merupakan 'Jenama SUV Terlaris di China' selama 100 bulan berturut-turut, dengan lebih 4 juta unit terjual di seluruh dunia.
SUV bersaiz sederhana ini telah membuktikan kebolehpercayaan dan popularitinya di seluruh dunia.
Apa yang diketahui setakat ini ialah GWM Malaysia akan melancarkan model baharu ini dengan anggaran harga jualan di bawah RM145,000 .
Untuk itu, ia sudah pun dibuka untuk tempahan.
Tawaran hebat dan istimewa menanti parapelanggan yang menempah GWM HAVAL H6 HEV sebelum pelancaran rasmi, termasuk:
• Nikmati nilai eksklusif RM 3,000 apabila membayar yuran tempahan RM 1,000*
• Keistimewaan untuk waranti enjin selama 10 tahun atau 1,000,000 km** (mana yang terdahulu)
• Layak untuk menerima waranti sistem HEV selama 8 tahun atau 1,000,000 km** (mana yang terdahulu), termasuk ‘Dedicated Hybrid Transmission’ (DHT), Bateri Voltan Tinggi dan Kabel, serta Unit Kawalan Transmisi.
Untuk keterangan lanjut, layari laman sesawang: https://www.gwm.com.my/stores.html.
Gallery











Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari