- Berita
- EV
- Honda Bakal Keluarkan Bateri Keadaan Pepejal Tahun 2025 Nanti – Lebih Jimat, Tahan Lama & Berkuasa
Honda Bakal Keluarkan Bateri Keadaan Pepejal Tahun 2025 Nanti – Lebih Jimat, Tahan Lama & Berkuasa
Honda bakal memulakan pengeluaran bateri keadaan pepejal (solid-state battery) pada Januari 2025 dengan pembukaan kilang demonstrasi baharunya di Sakura City, Jepun. Fasiliti ini dibangunkan untuk mensimulasikan proses pengeluaran berskala besar bateri keadaan pepejal pada masa akan datang.
Dengan keluasan sekitar 295,000 kaki persegi merangkumi tiga bangunan utama, fasiliti ini dilengkapi peralatan canggih untuk setiap proses pembuatan bateri. Antaranya termasuk proses penimbangan dan pencampuran bahan elektrod, pembentukan sel bateri serta pemasangan modul bateri.
Inovasi Dalam Teknologi Bateri Keadaan Pepejal
Sebagai sebuah syarikat yang berusaha membangunkan teknologi bateri keadaan pepejal sendiri, fasiliti ini penting untuk menentukan spesifikasi asas sel bateri sebelum fasa pengeluaran secara besar-besaran.
Teknologi ini menggunakan bahan konduktif kering sebagai pengganti elektrolit cecair pada bateri litium-ion konvensional. Namun, proses pengeluarannya lebih rumit. Untuk mengatasi cabaran ini, Honda memperkenalkan teknik roll-pressing unik yang meningkatkan ketumpatan lapisan elektrolit secara berterusan dalam masa yang singkat.
Pengeluaran Dijangka Bermula 2025 Nanti
Dengan teknik ini dan pelbagai inovasi lain yang dapat dibangunkan di kilang demonstrasi ini, Honda merancang untuk menambah baik proses pengeluaran bateri menjelang penghujung tahun 2025. Bateri ini akan mula dipasangkan pada model kenderaan elektrik bateri (BEV) dan hibrid (HEV) Honda dalam dekad ini.
Revolusi Dalam Teknologi Automotif
Bateri keadaan pepejal dijangka bakal menjadi satu revolusi penting kerana menawarkan keberkesanan kos yang lebih tinggi, jangka hayat yang lebih panjang, dan memiliki ketumpatan tenaga yang tinggi berbanding bateri lithiom-ion yang kini digunakan secara meluas.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv