- Berita
- EV
- Kia APAC EV Day 2024: EV3 Serta Model Konsep EV4 & PV5 Dipertontonkan
Dari kiri: Konsep PV5, EV9, EV3, EV5 dan konsep EV4.
Sempena Kia EV Day 2024 yang berlangsung di Taipei, Taiwan semalam, Kia telah mendedahkan pencapaian dalam aspek teknologi, serta matlamat yang ditetapkan untuk mengukuhkan kehadiran jenamanya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) di rantau Asia Pasifik (APAC).
Carz.com.my berpeluang untuk menyaksikan perkembangan ini secara langsung di Taipei Performing Arts Center (TPAC) di mana Kia mempamerkan model elektrik dan kereta konsep terkini untuk tatapan.
SUV Kompak Elektrik Kia EV3
Kia EV3
Semasa acara, Kia telah mendedahkan buat pertama kalinya di rantau ini, EV terbaru, Kia EV3 yang bakal dilancarkan di negara yang terpilih pada tahun 2025. Model ini menampilkan inovasi daripada SUV EV9, namun kali ini dalam bentuk yang lebih kompak. Model yang dibangunkan berdasarkan Platform Modular Elektrik Global (E-GMP) Kia ini menggunakan falsafah reka bentuk "Opposites United" yang menggabungkan elemen sporty dan praktikal.
EV3 dilengkapi teknologi Kawalan Vektor Tork Dinamik Elektrik (eDTVC) serta pakej bantuan pemandu canggih (ADAS) yang lengkap termasuk bantuan pengelak pelanggaran hadapan 2, bantuan kekal lorong, bantuan pemanduan lebuhraya 2 dan bantuan parkir jarak jauh.
Jentera Konsep EV4 dan PV5 yang Praktikal
Kereta konsep Kia EV4
Acara ini juga memperkenalkan dua model konsep yang unik. Model konsep pertama, EV4 mengetengahkan konsep ‘Power to Progress’ dengan rekaan ruang kabin yang luas dan mewah. Sebagai EV premium, EV4 disasarkan untuk pemandu yang mencari pengalaman memandu mewah yang dilengkapi teknologi terkini.
Kereta konsep Kia PV5
Sementara itu, model konsep PV5 merupakan platform serbaguna pertama Kia, Platform Beyond Vehicle (PBV). Dicipta untuk pelbagai kegunaan mobiliti seperti ride-hailing, logistik dan rekreasi, PV5 menampilkan reka bentuk minimalis yang boleh diubah suai untuk pelbagai tujuan, dari keperluan perniagaan hingga gaya hidup peribadi.
Turut dipamerkan semasa acara ialah Kia EV5 yang pertama kali dilancarkan di Thailand
SUV Elektrik Kebanggaan, Kia EV9
Turut dipamerkan ialah Kia EV9 yang merupakan SUV elektrik yang telah memenangi pelbagai anugerah, termasuk Supreme Winner di Women’s World Car of the Year 2024. Model ini ditawarkan di Malaysia dalam dua varian GT-Line pada harga bermula dari RM369,668.
EV9 menggabungkan teknologi keselamatan, prestasi dan reka bentuk terkini Kia, menetapkan piawaian tinggi dalam segmen SUV elektrik dan menjadi asas kepada pembangunan EV3.
Tawaran EV Diperluaskan, Pengalaman Pelanggan Ditingkatkan
Kia turut berkongsi strateginya iaitu untuk menawarkan barisan EV pada pelbagai peringkat harga, di samping model hibrid dan PBV, untuk memenuhi permintaan pasaran yang pelbagai. Selain model elektrik, Kia akan terus menawarkan kenderaan pembakaran dalaman (ICE) di pasaran tertentu.
Kia menyasarkan untuk mengendalikan enam hab pengeluaran EV global menjelang 2025 untuk memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat, dengan sasaran jualan tahunan sebanyak 1.6 juta EV menjelang tahun 2030.
Jenama ini juga akan meningkatkan pengalaman pelanggan melalui integrasi premium di setiap titik sentuhan, sama ada di kedai, dalam kereta mahupun melalui platform mudah alih, memastikan perjalanan dan pengalaman pemilikan yang lebih lancar.
Acara ini diakhiri dengan pengukuhan strategi Kia ke arah mobiliti lestari dan masa depan yang lebih hijau. Untuk maklumat lanjut tentang inovasi EV Kia dan peta hala tuju strategik terkini, sila layari laman web rasmi Kia.
Baca: Kempen “Fuel-on-Us”: Beli Kia Carnival, Dapat Subsidi RM1.05/Liter Selama 5 Tahun!
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv