- Berita
- EV
- ChargEV Sediakan Pengecas DC 400kW Di Tangkak – 8 EV Serentak, RM1.60/kWj
ChargEV Sediakan Pengecas DC 400kW Di Tangkak – 8 EV Serentak, RM1.60/kWj
Hab pengecasan pantas terbaru dan terbesar ChargEV kini di Tangkak. Fasiliti ini bakal menjadi tumpuan pengguna kenderaan elektrik (EV) terutamanya pengendali kenderaan logistik yang menggunakan lori elektrik. Terletak berdekatan Plaza Tol Tangkak, hab ini merupakan alternatif lebih murah berbanding fasiliti pengecasan Shell Tangkak Arah Selatan.
Walaupun kedudukan pengecas ini memerlukan sedikit lencongan sejauh 550 meter dari Plaza Tol Tangkak, ia tetap mudah diakses oleh pengguna dari arah utara dan selatan.
Teknologi Terkini Untuk Pengecasan Yang Pantas
Dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 400kWj dan kabinet Kempower 1000V 400kW, hab ini mampu mengendalikan lapan unit pengecas DCFC 120kW CCS2 secara serentak. Ia direka untuk memenuhi keperluan kenderaan ringan dan berat dengan kadar caj RM1.60/kWj, dengan masa pengecasan sekitar 30 minit.
Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, fasiliti ini kini dalam proses akhir mendapatkan pensijilan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Baca: Sistem BESS chargEV Bolehkan Pengecasan Pantas EV Di Mana Sahaja
Kemudahan Mesra Pengguna & Selamat
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat ChargEV, Huzaimi Noh Omar, menegaskan reka bentuk hab ini mematuhi piawaian keselamatan Bomba bagi memastikan kelancaran pergerakan, terutama untuk kenderaan berat.
Lebih Daripada Sekadar Stesen Pengecasan
Dijadualkan untuk dibuka bulan hadapan, ChargEV Pitstop Tangkak yang terletak di lokasi strategik ini memudahkan pengguna EV yang membuat perjalanan antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru atau Singapura.
Selain pengecasan, pelbagai kemudahan disediakan, termasuk 12 gerai makanan dan minuman, dua kedai serbaneka dan pejabat satelit pelancongan Tangkak.
Menyokong Matlamat Hijau Negara
Huzaimi turut menyatakan bahawa hab ini akan menjadi penanda aras baharu dalam pengangkutan lestari. Ia bukan sahaja memacu peluang ekonomi tempatan, tetapi juga menyokong matlamat kerajaan untuk menyediakan 10,000 stesen pengecas EV tahun ini.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv