- Berita
- Berita Auto
- Honda Minta CEO Nissan Letak Jawatan, Hentikan Teknologi e-Power
Honda Minta CEO Nissan Letak Jawatan, Hentikan Teknologi e-Power
Cadangan penggabungan antara Nissan dan Honda akhirnya menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan. Honda mengemukakan cadangan untuk menguruskan Nissan sebagai anak syarikatnya, namun Nissan dengan tegas menolak tawaran tersebut.
Menurut laporan tidak rasmi, beberapa syarat yang ditetapkan oleh Honda menjadi penghalang utama, termasuk keperluan untuk Nissan meningkatkan keuntungan tiga kali ganda dalam satu tahun fiskal serta membeli semula saham daripada rakan kongsinya, Renault.
Syarat Utama yang Mencetuskan Perpecahan
Akhbar Jepun, Yomiuri Shimbun, di bahagian berita bahasa Inggerisnya, The Japan News, mendedahkan satu lagi syarat yang lebih mengejutkan, iaitu Honda dikatakan meminta Nissan menghentikan teknologi e-Power.
Teknologi ini merupakan salah satu inovasi penting Nissan dalam segmen elektrifikasi dan telah menerima pelaburan besar dalam pembangunannya. Seperti dijangka, cadangan itu menerima tentangan hebat daripada Nissan, melebarkan lagi jurang antara kedua-dua syarikat.
Walaupun perbincangan penggabungan telah dihentikan, kedua-dua pihak masih terbuka untuk bekerjasama dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) di masa hadapan.
Baca: KLIMS 2024: Nissan Hyper Tourer Didedah, MPV Elektrik Untuk Generasi Masa Depan
Mengapa Honda Mahu Nissan Hentikan e-Power?
Cadangan Honda untuk menghentikan e-Power mungkin berasaskan faktor kos. Jika penggabungan berlaku, perbelanjaan yang besar perlu dikeluarkan untuk membangunkan dua sistem elektrifikasi yang berbeza secara serentak.
Namun begitu, perkara ini mustahil untuk dilaksanakan Nissan kerana sebahagian besar produknya, termasuk Nissan Kicks, menggunakan sistem e-Power.
Untuk makluman pembaca, e-Power berbeza daripada hibrid konvensional. Sistem ini menggunakan enjin pembakaran dalaman sebagai penjana untuk mengecas bateri, yang kemudiannya membekalkan kuasa kepada motor elektrik. Hasilnya, Nissan mendakwa pemanduan kenderaannya menyerupai EV.
Sebaliknya, teknologi e:HEV Honda masih bergantung kepada enjin pembakaran dalaman untuk menggerakkan kenderaan serta mengecas bateri, seperti yang digunakan dalam model popular seperti CR-V, HR-V dan Civic.
Masa Depan Nissan: CEO dalam Tekanan?
Selain isu teknologi, satu lagi laporan oleh Financial Times mendedahkan bahawa Honda masih terbuka untuk rundingan penggabungan, tetapi dengan syarat Nissan menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Makoto Uchida.
CEO Nissan, Makoto Uchida
Malah, Uchida kini dikatakan berdepan tekanan dalaman daripada lembaga pengarahnya, termasuk pemegang saham Renault, susulan kegagalan rundingan ini.
Buat masa ini, Nissan masih dalam ‘mod bertahan’ dengan langkah penstrukturan semula termasuk pengurangan pengeluaran dan operasi. Syarikat itu juga sedang mencari rakan strategik baharu untuk mendapatkan suntikan modal yang amat diperlukan.
Antara nama yang disebut ialah gergasi teknologi dari Taiwan, Foxconn. Walaupun syarikat itu lebih berminat kepada kerjasama berbanding pengambilalihan penuh, kemungkinan untuk Nissan dijual juga tidak boleh diketepikan.
Baca: Gabungan Honda & Nissan Bakal Jadi Kumpulan Automotif Ketiga Terbesar Dunia – Fokus Hasil EV
Baca: Nissan Pertimbang Foxconn Selepas Tolak Tawaran Honda
Baca: Nissan Tidak Mahu Jadi Anak Syarikat Honda, Mitsubishi Undur Diri
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv