- Berita
- Kereta Baru
- Jaecoo J7 PHEV Kini Rasmi Di Malaysia – Cecah 1,300 KM, Dari RM158,800
Jaecoo J7 PHEV Kini Rasmi Di Malaysia – Cecah 1,300 KM, Dari RM158,800
Jaecoo Malaysia hari ini secara rasmi telah melancarkan Jaecoo J7 PHEV. Menariknya, Malaysia ialah pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) pertama yang menerima model SUV separa elektrik berteknologi tinggi ini.
Cecah 342 HP & Jarak 1,300 KM
Jaecoo J7 PHEV hadir dengan gabungan enjin 1.5L TGDI dan motor elektrik tunggal FWD, dipadankan dengan sistem transmisi hibrid khusus (DHT) yang menjadikannya lebih cekap dan responsif. Gabungan ini menghasilkan kuasa 342 hp (255kW) dan 525 Nm, membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 8.5 saat, dengan kelajuan maksimum mencapai 180km/j.
Salah satu kelebihan utama model ini ialah jarak pemanduan yang mengagumkan. Dengan bateri LFP 18.3 kWj, Jaecoo J7 PHEV mampu mencapai jarak sehingga 1,300 km berdasarkan kitaran WLTP, menjadikannya pilihan ideal untuk perjalanan jauh.
Bateri ini boleh dicas dengan pengecas AC 6.6 kW dan DC 40 kW. Dengan pengecas pantas DC 40 kW bateri boleh dicas daripada 30% kepada 80% dalam masa hanya 20 minit. Jarak perjalanan elektrik sepenuhnya mencecah 106 km.
Selain itu, model ini dilengkapi dengan fungsi pembekalan kuasa kepada peralatan elektrik iaitu Vehicle-to-Load (V2L) sebanyak 3.3 kW.
SUV Praktikal untuk Keluarga
Dengan panjang 4,500mm, lebar 1,865mm, tinggi 1,670mm dan jarak roda 2,762mm, ia menawarkan kestabilan dan keselesaan untuk pemanduan harian mahupun perjalanan jauh. Ruang butnya luas dengan kapasiti 500 liter, cukup untuk membawa barangan keperluan harian atau bagasi untuk percutian bersama keluarga.
Reka Bentuk Mewah
Dari segi luaran, Jaecoo J7 PHEV menampilkan rekaan yang elegan dengan elemen yang diinspirasikan daripada jenama mewah, Range Rover. Dalam masa yang sama, J7 menyerlah dengan identiti tersendiri seperti lampu hadapan LED berbentuk bendera berkotak.
Dari sudut tepi, pemegang pintu yang digunakan adalah jenis terbenam yang bukan sahaja membuatkannya kelihatan moden tetapi juga meningkatkan aerodinamik kenderaan.
Cermin sisi yang digunakan hadir dengan fungsi pemanas untuk memudahkan penglihatan dalam pelbagai keadaan cuaca. SUV ini juga tampil lebih bergaya dengan rim EV 19 inci dalam rekaan khas untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Kabin dengan Sentuhan Premium
Ruang kabinnya sarat dengan ciri moden dan canggih. Antara yang disediakan ialah paparan kluster meter digital bersaiz 10.25 inci dan skrin infotainmen 14.8 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Untuk hiburan, model ini hadir dengan sistem audio Sony yang terdiri daripada 8 pembesar suara.
Model ini dilengkapi dengan sistem kamera 540 darjah untuk pandangan menyeluruh semasa memandu dan memarkir. Kemudahan lain yang disediakan ialah pad pengecas tanpa wayar 50W dengan sistem penyejukan.
Ciri menarik lain ialah bumbung panoramik dan pencahayaan ambien 64 warna. Sementara itu, tempat duduknya diberikan balutan kulit Eco.
Keselamatan Bertaraf Tinggi dengan ADAS Tahap 2
Jaecoo J7 PHEV menitikberatkan aspek keselamatan dengan menawarkan 8 beg udara, selain dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) Tahap 2. Ciri keselamatan yang tersedia termasuk amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong kecemasan, sistem amaran perlanggaran depan, belakang dan pelbagai, brek kecemasan autonomi (AEB), amaran & brek lintasan trafik belakang dan sebagainya.
Dengan pelbagai ciri keselamatan aktif ini, Jaecoo J7 PHEV memastikan pemanduan yang lebih selamat, bukan sahaja untuk pemandu dan penumpang, tetapi juga untuk pengguna jalan raya lain.
Pilihan Warna Menarik
Jaecoo J7 PHEV ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Moonlight Silver, Carbon Crystal Black, Khaki White (terhad 100 unit) dan Olive Grey (akan datang).
Waranti & Pakej Istimewa untuk Pembeli Terawal
Jaecoo J7 PHEV hadir dengan pakej waranti komprehensif yang merangkumi waranti kenderaan selama 7 tahun atau 150,000 km, waranti bateri EV selama 8 tahun atau 160,000 km, dengan pertukaran 1-untuk-1 sekiranya kapasiti bateri menurun bawah 70%. Selain itu, pemilik juga mendapat waranti 8 tahun atau 160,000 km untuk unit pacuan, BMS dan unit kawalan.
Sebagai tawaran istimewa, pakej Early Bird ditawarkan sehingga 2 Mac 2025 ini yang mana pembelian didatangkan dengan waranti enjin selama 10 tahun atau 1,000,000 km dan juga pengecas V2L percuma.
Harga Jualan Jaecoo J7 PHEV
Jaecoo J7 PHEV ditawarkan pada harga lebih ‘premium’ iaitu RM158,800. Sebagai perbandingan, model standard ditawarkan pada harga RM138,800 (J7 2WD) dan RM148,800 (J7 AWD).
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv