- Berita
- Global
- Toyota Hiace Dengan Sentuhan GR – Dari Van 'Kerja' Kepada Van Bergaya!
Toyota Hiace Dengan Sentuhan GR – Dari Van 'Kerja' Kepada Van Bergaya!

Toyota melalui jenama jentera berprestasinya, Gazoo Racing (GR), mungkin sedang bersiap sedia menghidupkan kembali nama Celica. Namun, dalam diam, jenama Jepun ini turut memberi sentuhan sporty kepada model yang tidak disangka-sangka, van Hiace.
Meskipun sudah ‘berusia’, Hiace generasi H200 yang diperkenalkan sejak tahun 2004 masih lagi dikeluarkan. Untuk tahun ke-21 pengeluarannya, Toyota memberikan kemaskini khas yang membuatkannya kekal menyerlah di jalan raya dengan aura yang lebih agresif.
Dua Pilihan Kit GR Parts – Off-Road & Sporty





Kit GR Parts hadir dalam dua versi berbeza iaitu GR Parts Version I yang melengkapkan van ini dengan ciri off-road, membuatkannya sesuai untuk kegunaan lebih lasak. Kit badan ini terdiri daripada bampar hadapan yang lebih kukuh dengan kemasan bolt-on dan integrasi lampu LED, pelindung bawah badan (skid plate) logam, skirt sisi yang kelihatan seperti pemijak serta penahan lumpur GR berwarna merah dan hitam.



Sementara itu, untuk gaya lebih sporty pula, ditawarkan GR Parts Version II yang terdiri daripada splitter hadapan, skirt sisi yang lebih aerodinamik, serta pilihan bampar belakang dengan faux diffuser. Pemilik juga boleh mendapatkan rim aloi 15 inci, bersama bingkai nombor plat khas dengan bolt GR.
Tiada Perubahan Mekanikal
Berbeza dengan model GR Sport yang biasanya menerima naik taraf pada sistem suspensi atau sedikit peningkatan prestasi, GR Parts hanya memberi perubahan visual tanpa sebarang modifikasi mekanikal atau enjin. Ini bermakna, Toyota Hiace dengan kit GR Parts masih kekal dengan trenkuasa yang sama.
Harga Jualan GR Parts
Dari segi harga, pakej GR Parts Version I dijual pada harga JPY 231,000 (~RM6,714), manakala Version II lebih murah pada JPY 143,000 (~RM4,156). Harga ini bagaimanapun tidak termasuk aksesori tambahan seperti rim dan tayar ranggi, penahan lumpur GR, serta bingkai nombor plat eksklusif GR.
Baca: Suzuki Dedahkan Kei Car Ranggi, Spacia Gear – Ada 'Bumbung Boleh Tarik'
Kit Badan Modellista Untuk Sentuhan Premium




Tidak terhenti di situ, Toyota turut menawarkan kit Modellista untuk sentuhan lebih eksklusif. Pakej ini merangkumi kit badan aerodinamik, pelekat khas Modellista, kemasan logam pada gril, pilihan rim baharu dan ekzos lebih besar.
Sentuhan Modellista turut diberikan di bahagian kabin dengan kemasan kayu di beberapa sudut, pencahayaan LED, tempat duduk dalam balutan kulit dan aksesori seperti tilam angin (air sleep mat) dan sebagainya.
Menariknya, Modellista bukan sahaja menawarkan peningkatan kosmetik, tetapi juga peningkatan pada casis, termasuk penyerap hentak baharu untuk keselesaan lebih baik serta bracing belakang untuk kekuatan struktur tambahan. Namun, seperti GR Parts, spesifikasi enjin Hiace kekal sama.
Walaupun tiada perubahan dari segi prestasi, Toyota Hiace MY2025 kini tampil lebih menarik dengan pilihan aksesori sporty dan off-road dari GR Parts serta mewah dari Modellista. Apa pendapat anda? Adakah ciri-ciri tambahan ini cukup menarik?
Baca: Toyota GR Celica Tiba Dalam Masa Terdekat Dengan Enjin Tengah?
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv